Naib Pengerusi DAP Selangor, Hannah Yeoh Tseow Suan menegaskan dirinya yang bakal bertanding di Parlimen Segambut adalah untuk keluar daripada zon selesa.

Beliau merupakan bekas anggota DUN Subang Jaya berkata, hari ini beliau bertanding di atas tiket PKR.

"PRU kali ini, setiap rakyat mesti tinggalkan zon selesa masing-masing. Saya juga telah tinggalkan zon selesa saya di Subang Jaya dan bertanding di luar bagi mendapatkan satu kerusi bagi Pakatan Harapan.

"Kenapa tidak bertanding di Selangor? Kami di Harapan bila masuk politik bersama rakan lain, kami bukan nak dapatkan jawatan atau gaji tinggi tetapi untuk perjuangkan kebajikan rakyat Malaysia. Sebab itu saya tidak perlu berfikir panjang untuk tinggalkan jawatan yang selesa kerana kami mahu satu negara yang selesa untuk rakyat Malaysia," katanya yang menegaskan dirinya bukanlah anti-Islam dalam ceramah kebangkitan rakyat, di sini, sebentar tadi.

Beliau yang juga merupakan bekas Speaker Kerajaan Negeri Selangor berkata, bukan beliau seorang sahaja dalam Pakatan Harapan meninggalkan zon selesa, tetapi Nik Nazmi Nik Ahmad yang menjadi calon di Setiawangsa dengan meninggalkan jawatan Exco Selangor, selain Fahmi Fadzil yang akan bertanding di Parlimen Lembah Pantai untuk melawan Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin

Katanya, malah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga meninggalkan zon selesanya.

"Semasa dalam Umno, beliau disanjung tinggi pemimpin Ummo. Bila Tun tinggalkan zon selesa itu dan berdiri bersama kami (Harapan), beliau dihina sampai gambar pun dipotong.

"Tetapi itulah pengorbanan untuk rakyat," katanya.

Tambahnya, hari ini DAP, Amanah, Bersatu sanggup bertanding dengan menggunakan tiket PKR.

Katanya, penjawat awam Putrajaya, marilah ubah bersama kami, usah gentar dan takut dengan BN.

Sementara itu, calon di Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Samsu Adabi berkata, rakyat Malaysia hari ini ditimpa satu kemalangan besar.


"Rakyat Malaysia ditimpa kesusahan. Betul atau tidak? Seluruh rakyat Malaysia berada di dalam negara ini terkesan dengan apa yang dilakukan oleh pemimpin BN dan ini adalah malang untuk rakyat dari Perlis hingga ke Sabah," katanya.

Jelasnya, beliau berdiri di bumi Putarajaya ini bukanlah sebagai keyua bahagian tetapi sebagai penyumbang suara rakyat yang akan menyuarakan keresahan rakyat dan segala beban rakyat.

"Dalam PRU ini, rakyat akan hukum Umno-BN, rakyat akan bentuk gelombang rakyat. Usah takut usah gentar," katanya.