SHAH ALAM: Tiada sahabat yang kekal sebaliknya hanya matlamat perjuangan yang perlu dipertahankan dalam politik.
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata percaturan politik termasuk perubahan jajaran bukan sesuatu yang luar biasa, namun perkara yang perlu diberi perhatian ialah apabila matlamat perjuangan turut berubah.
Menurut beliau, prinsip perjuangan sesebuah parti amat penting kerana ia menjadi asas kepada keyakinan penyokong bahawa matlamat yang diperjuang berlandaskan prinsip dan dasar yang jelas.
"Kerana itu prinsip perjuangan parti itu amat penting kerana ia menawarkan kepada penyokong-penyokongnya bahawa matlamat yang dikejar adalah di atas prinsip-prinsip yang dinyatakan dengan jelas.
"Namun begitu, dalam kita melakukan tolak ansur demi mencapai matlamat, kita perlu ingatkan diri kita bahawa matlamat itu tidak seharusnya menghalalkan kesemua cara," katanya dalam teks ucapan yang dibacakan Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Rafique Rashid Ali pada Perhimpunan Agung Pejuang 2026 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), pada Ahad.
Dr Mahathir berkata sebagai orang Melayu beragama Islam, sebarang tindakan yang bertentangan dengan hukum Islam dan adat resam tidak boleh dihalalkan atas alasan mencapai sesuatu matlamat.
Beliau turut menyifatkan Malaysia kini berada di persimpangan politik yang kritikal apabila rakyat, khususnya orang Melayu, berdepan dua pilihan yang masing-masing mempunyai masalah tersendiri.
Menggunakan peribahasa Melayu "ditelan mati emak, diluah mati bapak", beliau berkata keadaan itu menggambarkan kesukaran rakyat untuk menentukan pilihan yang ada.
Menurutnya, satu pilihan dilihat akan meminggirkan agama, bangsa serta falsafah negara sebagai Tanah Melayu, manakala satu lagi seolah-olah menghalalkan kemungkaran.
Bagaimanapun, beliau berpandangan masih terdapat ruang untuk melakukan perubahan terhadap pilihan yang satu lagi, termasuk melalui perjuangan dari dalam atau membentuk perjuangan baharu selepas memastikan kelangsungan kewujudan parti.
Mengulas perjalanan Pejuang sejak ditubuhkan enam tahun lalu, Dr Mahathir berkata walaupun pencapaian parti itu tidak begitu menggalakkan, beberapa perkembangan politik kebelakangan ini dilihat membuktikan kebenaran terhadap pendirian dan keputusan yang pernah diambil parti tersebut.
Antaranya, tindakan parti induk keluar daripada kerajaan secara tergesa-gesa yang menurut beliau membawa kepada ketidaktentuan politik serta kejatuhan kepimpinan ketika itu.
Beliau turut membangkitkan perkembangan apabila individu yang terbabit dalam pemecatan mereka daripada parti induk sehingga membawa kepada penubuhan Pejuang, kini turut berdepan pemecatan dan terpaksa menubuhkan parti lain.
Selain itu, katanya, pihak yang sebelum ini mahu keluar daripada kerajaan kerana tidak berpuas hati dengan komponen parti dalam kerajaan ketika itu dilihat kembali menjurus kepada parti-parti berkenaan.
Dr Mahathir berkata perkara silam dibangkitkan bukan untuk memburukkan mana-mana pihak, sebaliknya sebagai pengajaran bahawa sejarah politik, sama ada baharu atau lama, perlu dijadikan panduan.