BATU PAHAT: Keputusan Barisan Nasional (BN) untuk bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, hanya akan diputuskan oleh pucuk pimpinan parti di peringkat pusat.

Ketua UMNO Bahagian Ketereh Tan Sri Annuar Musa berkata semua anggota parti akan patuh terhadap segala keputusan dasar, yang dimuktamadkan oleh pucuk pimpinan.

"Seperti yang kita tahu, perkara dasar perlu diputuskan oleh pimpinan parti dan kita sebagai anggota parti akan mematuhi apa yang diputuskan oleh parti.

"Di peringkat UMNO, beberapa keputusan dasar telah dibuat dan diputuskan oleh majlis tertinggi dan juga Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor. Jadi jentera semua akan mengikut satu 'command' secara 'united front' berasaskan keputusan yang dibuat pucuk pimpinan parti," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Pasca Banjir di Dewan Komuniti Ayer Hitam di sini hari ini.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan BN akan bekerjasama dengan Bersatu dan Pas untuk PRN Johor.

Semalam, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata PN kini dalam peringkat akhir untuk menentukan kerusi yang akan dipertandingkan pada PRN Johor.

Isnin lepas, Pesuruhjaya Pas Johor Abdullah Husin dilaporkan akan berusaha untuk bertemu dengan pimpinan UMNO negeri dalam masa terdekat, bagi berbincang mengenai persefahaman dua parti itu dalam menghadapi PRN Johor atas semangat Muafakat Nasional (MN).

Rabu lalu, Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata kerjasama politik antara BN dan PAS dalam PRN Johor, akan dikaji dengan penuh penelitian.

-- BERNAMA