Harapan gali kubur sendiri - penganalisis

Sinar Harian
April 15, 2018 01:03 MYT
RUSDI: Jika tersilap langkah, pengundi yang sebelum ini cenderung untuk bersama mereka akan berubah fikiran dan mungkin akan terus mengukuhkan Pas serta memilih BN. - Foto Sinar Harian
Pakatan Harapan (Harapan) terutamanya Amanah diibaratkan seperti menggali kubur sendiri apabila mengumumkan anak kedua Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan menyertai parti mereka.
Penganalisis politik, Dr Rusdi Omar berkata, taktik yang digunakan untuk menakut-nakutkan Pas ataupun mahu meraih undi daripada penyokong parti Islam itu tidak menggambarkan kematangan dalam berpolitik.
“Jika apa yang dimaksudkan oleh Amanah ini betul (masuk Amanah) ia akan memberi tamparan hebat buat Pas, namun seandainya tidak berlaku sebagaimana cakap-cakap itu, lumpurnya akan terpalit kepada diri sendiri,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian mengulas dakwaan kuat Amanah Kelantan yang menyatakan Nik Omar Nik Abdul Aziz akan menyertai parti serpihan Pas itu.
BACA: Abang saya, Nik Omar tidak sertai Amanah - Nik Abduh
BACA: Amanah pujuk anak Allahyarham Nik Abdul Aziz untuk jadi calon
Rusdi juga berpandangan seandainya cerita yang dibawa oleh Amanah itu meleset sama sekali ia sebenarnya akan memberi kelebihan kepada Pas dan Barisan Nasional (BN), bahkan boleh dijadikan sebagai modal menyerang parti itu dalam tempoh berkempen nanti.
“Perkara yang dibuat ini sangat besar, jika tersilap langkah pengundi yang sebelum ini cenderung untuk bersama mereka akan berubah fikiran dan mungkin akan terus mengukuhkan Pas serta memilih BN,” katanya.
Namun begitu, sekiranya Nik Omar menjadi keluarga Amanah dan akan diangkat sebagai menteri besar nanti ia belum tentu dapat mengemudi kerajaan dengan baik disebabkan kekurangannya dalam dunia politik.
“Biarpun dia anak Nik Aziz, tetapi aura dimiliki arwah bapanya tidak diwarisi olehnya. Belum masanya lagi untuk dia menjadi pemimpin,” katanya.
Rusdi berkata, dalam keadaan sebegini lebih baik Nik Omar membuka mulut memberikan penjelasan kepada semua daripada terus berdiam diri.
#Amanah #anak #Barisan Nasional #calon #Islam #MalaysiaMemilih #menakut-nakutkan #Nik Abdul Aziz Nik Mat #Nik Omar Nik Abdul Aziz #Pakatan Harapan #Parti Amanah Negara #PAS #politik #Rusdi Omar #Taktik