JOHOR BAHRU: Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad hari ini terus berdalih apabila dirujuk mengenai kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan diadakan selepas sambutan Tahun Baharu Cina nanti.

Semasa diajukan mengenai perkara berkenaan, Ketua Badan Perhubungan Umno Johor itu hanya tertawa, dan menegaskan bahawa sebenarnya apa yang lebih penting adalah justifikasi mengapa pilihan raya itu perlu diadakan.

"Saya kira justifikasi kenapa PRN Johor perlu diadakan adalah lebih penting daripada bila patut diadakan (PRN). Itu lagi penting. Kita (kerajaan negeri) ada peraturan. Kita tidak boleh sewenang-wenangnya...," katanya selepas merasmikan AirAsia Super Apps (AirAsia Ride, AirAsia Food, AirAsia Grocer dan AirAsia Express) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai beberapa kenyataan pembangkang yang meminta supaya Hasni menamatkan khabar angin mengenai PRN, yang dikatakan mungkin akan diadakan selepas sambutan Tahun Baru Cina.

Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata sebagai Menteri Besar, beliau juga tertakluk kepada peraturan serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 dan tidak boleh sesuka hati mengisytihar atau menasihati Sultan Johor supaya membubar atau tidak, Dewan Undangan Negeri (DUN).


PRN Johor | Perlu dapatkan pandangan KKM dahulu - Hishammuddin

"Tidak ada pihak yang perlu bimbang.. saya akan berpegang kepada peraturan yang telah ditetapkan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor. Saya telah nyatakan bahawa dalam keadaan majoriti yang amat tipis ini, saya perlu sensitif kepada kestabilan kerajaan. Tidak boleh menganggap bahawa semua bersetuju, atau menggunakan bentuk-bentuk atau kaedah (tertentu) untuk mencapai keputusan," katanya.

Beliau berkata dengan majoriti tipis, kerajaan negeri perlu kestabilan, dan ia memerlukan beliau berhati-hati serta sensitif supaya rancangan-rancangan yang disusun serta program-program membangunkan ekonomi negeri, akhirnya dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Hasni berkata tambahan pula kestabilan dilihat amat penting apabila ada segelintir pelabur turut menjadikan soal kestabilan kerajaan negeri sebagai prasyarat untuk mereka datang melabur atau meluaskan pelaburan mereka di Johor.

"Oleh sebab itu, saya katakan dari awal mengenai keperluan mengadakan PRN ini, saya tidak boleh tolak (begitu sahaja). Saya perlu kaji dan perlu tengok perkara ini. Suara-suara pelbagai pihak tidak boleh diabaikan begitu sahaja," katanya.

Kerajaan negeri Johor pimpinan BN ketika ini mempunyai kelebihan hanya satu kerusi DUN susulan kematian ADUN Kempas Datuk Osman Sapian pada 21 Dis lepas, dengan BN memiliki 16 kerusi DUN, Bersatu (11), PAS (satu), manakala di pihak pembangkang Pakatan Harapan mempunyai 27 kerusi.

-- BERNAMA