Skip to main content

Politik

‘Hari ini nak bersama, esok kata nak tanding semua’ - Aminuddin sindir BN

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun. Sinar Harian
Aminuddin ketika berucap di Konvensyen PH pada Ahad.

JOHOR BAHRU: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyindir sikap BN yang disifatkan hanya mahu bekerjasama ketika memerlukan Kerajaan Perpaduan.

Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, situasi berkenaan menyebabkan akar umbi PH perlu tegas dan terus memperkukuhkan gerak kerja serta tidak mudah terpengaruh dengan permainan politik pihak tertentu.

“Kita tak boleh diadu domba diugut setiap masa. Hari ini mereka berkata untuk bersama, esoknya mereka kata mereka nak tanding semua.

“Hari ini mereka hormat kepada pimpinan kita, mereka setuju dengan pandangan bersama. Lusa mereka memungkiri janji mereka.

“Jadi apa semua ini? Maknanya kita balik kita kerja. Pastikan jentera disiapkan, terus bekerja tak kira di mana kita berada,” katanya pada ucapan Perwakilan Negeri di Konvensyen PH berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada pada Ahad.

Naib Presiden PKR itu dalam ucapannya, turut mengimbau pengorbanan PH Negeri Sembilan yang pernah menyerahkan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada BN atas semangat kerjasama politik.

“Kita baik. Sebelum pilihan raya, kita serah satu DUN yang kita menang untuk mereka bertanding dan mereka menang. Tiba-tiba mereka khianati kita.

“Jadi pengajaran ini cukup bermakna bagi kita. Apa jua yang diputuskan oleh kepimpinan hari ini, apa jua keputusan yang diberikan oleh presiden dan pimpinan atau presiden-presiden parti kita. Harus kita hormati.

“Untuk kita kuat, kita kena akur. Apa juga keputusan mereka. Kerana itulah disiplin kami di Negeri Sembilan,” katanya.

Mengenai krisis politik di Negeri Sembilan, beliau memberikan perumpamaan sebuah kapal besar dan kukuh yang ‘ditebuk dari dalam’ oleh pihak tertentu sehingga menyebabkan kebocoran.

“Kita sebagai nakhoda, mereka (BN) menunjukkan kesetiaan ketika berada di dalam kapal. Tiba-tiba mereka berasa tidak selesa. Mungkin panas, mungkin mereka merasakan mereka perlukan sesuatu yang baharu.

“Mereka tebuk dari dalam. Kapal ditebuk, air masuk. Saya pun terfikir, mengapakah kapal tersebut ditebuk tanpa sebarang penceritaan, tanpa tanda-tanda dan tanpa rasa tidak puas hati.

“Rupanya, saya terlupa bahawa dalam membina kapal ini perlu ada kolam renang. Walaupun kita mampu menampalnya, tetap ada kesan kebocoran yang berlaku. Apabila ada kebocoran, itu tanda pengkhianatan,” katanya.

Ujar beliau, pengkhianatan itu amat dirasai kerana dalam keadaan sepatutnya mereka bersama-sama mendokong usaha untuk menyelesaikan isu yang timbul, namun sebaliknya berlaku.

“Malangnya, mereka memilih cara yang memeranjatkan seluruh negara dan membuatkan kita semua berasa cukup kecewa,” katanya. - Sinar Harian

 

 

Must Watch Video