Skip to main content

Politik

Tiada istilah lompat parti, kami kosongkan kerusi dahulu - Rafizi

Rafizi ramli_nasruddin samad
Rafizi (kiri) berkata langkah mengosongkan kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa dibuat bagi menghormati mandat rakyat selain memastikan tindakan keluar daripada PKR tidak melanggar syarat bon parti atau peruntukan berkaitan antilompat parti.

PETALING JAYA: Keputusan Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing sebelum menyertai Parti Bersama Malaysia (Bersama) tidak menimbulkan isu lompat parti kerana mandat dikembalikan kepada rakyat terlebih dahulu.

Rafizi berkata langkah mengosongkan kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa dibuat bagi menghormati mandat rakyat selain memastikan tindakan keluar daripada PKR tidak melanggar peruntukan berkaitan antilompat parti atau bon parti.

“Sebelum ini tiada Ahli Parlimen sanggup mengosongkan kerusi kerana semua mahu kekal menjadi Ahli Parlimen walaupun bertukar parti.

“Jadi apa yang kami buat ialah mengosongkan kerusi dan mengembalikan mandat kepada rakyat.

"Apabila kami keluar PKR pada Selasa ini, kami tidak lagi terikat dengan bon parti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Pengumuman Hala Tuju Politik Rafizi dan Nik Nazmi di sini pada Ahad.

Mengulas kemungkinan berdepan tindakan undang-undang daripada PKR, Rafizi berkata keputusan itu dibuat selepas beliau dan Nik Nazmi hilang keyakinan terhadap hala tuju parti tersebut, khususnya selepas pemilihan parti tahun lalu.

“Kami bukan terlalu terdesak untuk berada dalam politik. Jika mahu terus berada dalam politik, ia mesti atas alasan yang betul dan bukan demi kepentingan sendiri,” katanya.

Menurut Rafizi, Parti Bersama Malaysia akan bergerak sebagai parti pelbagai kaum dan tidak akan terikat dengan mana-mana gabungan politik sedia ada.

Bagaimanapun, beliau berkata keputusan sama ada pilihan raya kecil (PRK) akan diadakan bergantung kepada Speaker Dewan Rakyat selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

 

Must Watch Video