Skip to main content

Politik

Hasrat Nurul Izzah lepas jawatan Timbalan Presiden PKR kerana mahu fokus pengajian lanjutan

51744436446_tbNurulIzzahAnwar.jpg
Nurul Izzah turut mengucapkan penghargaan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan kepimpinan parti kerana mengambil maklum keputusannya. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Nurul Izzah Anwar menjelaskan hasrat keputusannya melepaskan jawatan Timbalan Presiden PKR dibuat selepas pertimbangan panjang bagi membolehkannya meneruskan pengajian lanjutan.

Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata berkata, langkah berkenaan turut membuka ruang untuknya meneruskan khidmat dan bakti yang tidak semesti terikat dengan dunia politik.

“Keputusan ini dibuat setelah pertimbangan yang panjang, untuk mengorak langkah baharu dalam meneruskan pengajian lanjutan yang berdiri di atas khidmat dan bakti, serta tidak semestinya terikat dengan dunia politik,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Nurul Izzah turut mengucapkan penghargaan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan kepimpinan parti kerana mengambil maklum keputusannya.

Walaupun berhasrat melepaskan jawatan, Nurul Izzah menegaskan, beliau tidak akan meninggalkan PKR dan akan terus menyokong perjuangan parti itu.

Beliau turut menyatakan keyakinan kepada Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Datuk Seri Amirudin Shari dalam melaksanakan amanah yang diberikan kepada mereka.

"Saya yakin Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail selaku Timbalan Presiden dan Datuk Seri Amirudin Shari selaku Pengarah Pilihan Raya akan melaksanakan amanah ini dengan penuh kebijaksanaan, hikmah dan ketekunan dalam menggalas harapan rakyat.

"Saya mendoakan agar setiap urusan mereka dipermudah dalam memikul tanggungjawab ini," katanya.

Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR pada Khamis memutuskan memberi cuti sementara kepada Nurul Izzah, bermula selepas Kongres Nasional 2026, selain melantik Saifuddin Nasution menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden secara sementara.

Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dibuat selepas MPP meneliti permohonan Nurul Izzah untuk mengundurkan diri daripada jawatan berkenaan serta mendengar pandangan beliau dan barisan kepimpinan parti.

Must Watch Video

Advertisement