Skip to main content

Politik

Hubungan Pas-Bersatu ‘berakhir’, mesyuarat Majlis Tertinggi PN ditangguh

 Perikatan Nasional
Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) Bil. 03/2026 yang dijadualkan pada 20 September 2026 jam 8.30 malam telah ditangguhkan ke suatu tarikh lain atas ketetapan Pengerusi PN.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional yang sepatutnya diadakan pada malam ini (20 September 2026), telah ditangguhkan ke suatu tarikh lain yang akan dimaklumkan kelak.
 
Penangguhan itu dinyatakan menerusi satu surat bertarikh 15 September yang ditandatangani Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan. 
 
Menurut surat berkenaan, keputusan menangguhkan mesyuarat dibuat oleh Pengerusi PN selepas mengambil kira alasan-alasan yang wajar.

Penangguhan terbaharu ini berlaku di tengah-tengah ketegangan yang kian meruncing antara dua parti teras PN.
 
Semalam, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi menegaskan bahawa kerjasama politik antara Pas dan Bersatu pada dasarnya telah berakhir.
 
Menurut bekas Perdana Menteri itu, keputusan menamatkan kerjasama itu dibuat sepenuhnya oleh Pas dan bukannya atas pilihan atau kehendak Bersatu, selain menggesa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) menyegerakan keputusan berhubung kemelut dalaman gabungan tersebut.
 
Untuk rekod, Bersatu sebelum ini tidak dijemput ke Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai lalu, yang mana Takiyuddin menjelaskan tindakan itu diambil susulan aduan empat Ahli Parlimen parti berkenaan kepada RoS mengenai dakwaan ketiadaan kuorum Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.
 
Susulan tindakan mengenepikan mereka itu, Bersatu memfailkan aduan rasmi kepada RoS pada 11 Ogos berhubung isu jemputan mesyuarat serta status keanggotaan parti dalam gabungan berkenaan, sebelum menerima notis mesyuarat baharu yang kini ditangguhkan semula.
 

Must Watch Video

Advertisement