PAS optimis hubungannya dengan PKR di Selangor tidak terjejas walaupun parti itu menyokong calon Parti Amanah Negara (Amanah) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar.

Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad berkata perkara itu tidak menjadi masalah kepada hubungan politiknya dengan PKR memandangkan situasi sama pernah berlaku di negara lain.

Mengambil contoh di Britain, beliau berkata kerajaan campuran parti Konservatif dan Liberal Demokrat berjaya mengekalkan kerajaan perpaduan yang dibina selama lima tahun walaupun bertanding dalam beberapa pilihan raya kecil.

"Tiada masalah sebenarnya dan kita sepatutnya mempunyai kematangan politik dalam perkara ini," katanya pada sidang media di Markas PAS di sini, pada Ahad.

Beliau mengulas kehadiran Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Timbalan Presiden PKR pada proses penamaan calon Amanah pada PRK Sungai Besar di Dewan Seri Bernam di sini, semalam.

Mohamed Azmin sebelum ini tidak menghadiri majlis pengumuman calon Pakatan Harapan bagi pilihan raya kecil itu pada Rabu lepas bagi mengelakkan konflik kepentingan dalam kerajaan negeri.

Tiga anggota Exco PAS dalam kerajaan Selangor ialah Iskandar, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Mohd Zaidy Abdul Talib.

Pada sidang media sama, calon PAS Dr Abdul Rani Osman yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru pula menzahirkan kekecewaannya terhadap tindakan Amanah bertanding dalam PRK itu, yang disifatkan 'mengganggu' kerusi parti Islam berkenaan.

"Jika kita berdua mahu menidakkan kemenangan BN (Barisan Nasional), maka mereka (Amanah) tidak perlu bertanding," katanya.

Pada pilihan raya kecil 18 Jun ini, Dr Abdul Rani berdepan pertandingan tiga penjuru dengan menentang calon BN yang juga ADUN Sungai Panjang Budiman Mohd Zohdi dan calon Amanah yang juga Pengerusi Amanah Sungai Besar Azhar Abdul Shukur.

Sementara itu, mengulas penyertaan beliau dalam PRK kali ini, Azhar berkata 'sentuhan peribadi' merupakan pendekatan yang akan diambilnya semasa berkempen memandangkan beliau sudah biasa mendekati masyarakat setempat.

"Saya sudah biasa mendekati masyarakat di sini (Sungai Besar). Jadi, cara ini akan saya gunakan semasa berkempen,"katanya.

PRK Parlimen Sungai Besar diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Tan Sri Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.