KUALA LUMPUR: Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang pertama kali diadakan pada Selasa lalu hanya melibatkan parti-parti yang memeterai perjanjian pakatan Kerajaan Perpaduan.

Perkara tersebut dijelaskan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli sebagai menjawab persoalan yang dibangkitkan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang tidak dijemput menghadiri mesyuarat tersebut.

Jelas beliau, penandatangan perjanjian pakatan itu ialah Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan.

"Mesyuarat itu hanya melibatkan penanda tangan perjanjian. Walaupun MUDA sebahagian Kerajaan Perpaduan, ia hanya melibatkan parti yang mempunyai lebih daripada tiga Ahli Parlimen," katanya kepada media di sini hari ini.

BACA: Tanda tanya MUDA tidak dijemput mesyuarat sekretariat

Beliau sebelum itu melancarkan Tinjauan Ekonomi Bank Dunia-Malaysia Edisi Februari 2023 pada Khamis.

Pada Rabu, Setiausaha Agung MUDA, Amir Abd Hadi menerusi ciapan Twitter, yang menyuarakan rasa terkilannya kerana tidak diundang menghadiri mesyuarat pertama berkenaan.

Amir menjelaskan tidak menerima sebarang jemputan termasuk menerusi surat, mesej atau emel.

Jawab Dakwaan MUDA | Anwar bertegas mesyuarat libat parti-parti mengasas kerajaan