SEREMBAN: Datuk Ismail Lasim hari ini, secara rasmi memulakan tugas sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan kesembilan.
Beliau yang mengenakan sut berwarna biru gelap, tiba di bangunan Wisma Negeri, di sini, pada jam 9 pagi.
Ketibaan beliau disambut oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim, sebelum mengimbas cap jari.
Ahad lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh itu, selesai mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.
Ismail, 67, mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti.
Turut berangkat ke Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan itu ialah Tunku Ampuan Besar, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dan Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz serta Tunku Panglima Besar, Tunku Zain Al-'Abidin Tuanku Muhriz.
Hadir sama, Undang Luak Sungai Ujong Datuk Klana Petra Muhammad Faris Johari dan Undang Luak Rembau Datuk Sedia Raja Hassan Ab Hamid.
Pada Pilihan Raya Negeri Sembilan ke-16 (PRN16) yang berlangsung pada Sabtu lalu, Ismail memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh dengan majoriti 4,091.
Beliau memperoleh 6,907 undi, menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Aidil Abdullah yang memperoleh 2,816 undi dan calon Bersatu, Mohd Zuhaimi Md Yusof dengan 506 undi.
Ismail yang juga anak kelahiran Kampung Tebing Tinggi, Juasseh dilahirkan pada 15 April 1959 merupakan lulusan jurusan undang-undang dari Universiti Malaya pada 1985.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan pernah menjawat jawatan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan.
Ismail juga merupakan Ahli Majlis Tetinggi UMNO.