KUALA LUMPUR: Calon Perdana Menteri dari Barisan Nasional, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diyakini dapat berbincang secara terbuka dengan setiap ‘rakan kongsi’ dalam usaha beliau menubuhkan kerajaan yang stabil.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, UMNO dan Barisan Nasional perlu bersikap terbuka dan menghayati permintaan dan aspirasi parti-parti politik yang menyokong pencalonan Ahli Parlimen Bera itu.

Katanya lagi, parti itu perlu mengambil pengajaran daripada apa yang terjadi pada era Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan cuba untuk tidak mengulanginya lagi.

“Mungkin sudah ada permintaan daripada PN, Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia), Pas dan lain-lain. Sebagai rakan kongsi dalam kerajaan yang akan ditubuhkan oleh Ismail Sabri, elok dibincangkan elok-elok.

"Kita mesti menjaga hati dan perasaan, dan aspirasi setiap daripada parti yang menganggotai... Umno, Bersatu, Pas ... Jadi, barulah kita boleh menubuhkan kerajaan yang stabil.

“Kita tidak mahu mengalami keadaan yang lalu di mana kerajaan tidak stabil, katanya rasa tidak puas hati, tekanan daripada parti itu parti ini. Siapa yang rugi? Kalau kerajaan tidak stabil dan dijatuhkan satu demi satu, yang rugi rakyat,” katanya ketika ditemui media di Menara Dato Onn, di sini hari ini.

Hari ini, kesemua Ahli-ahli Parlimen yang dikatakan menyokong Ismail Sabri, telah dipanggil ke Istana Negara untuk mengesahkan sokongan mereka di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

SIAPA PERDANA MENTERI KE-9? BACA SEMUA ARTIKEL DI SINI

Daripada keseluruhan 42 Ahli Parlimen Barisan Nasional, 41 daripada mereka telah bersetuju untuk menzahirkan sokongan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu.


[INFOGRAFIK] Jumlah sokongan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Selain itu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan susulan berkata, kesemua 50 Ahli Dewan Rakyat dari gabungan itu, terdiri daripada Bersatu, Pas dan STAR bersetuju menyokong Ismail Sabri.

Selain itu, Perdana Menteri Sementara itu juga menyebut, pimpinan Gabungan Parti Sarawak, Parti Bersatu Sabah, dan empat Ahli Parlimen Bebas telah mengambil ketetapan yang sama.

Namun, Muhyiddin berkata, sokongan itu adalah bersyarat – Ahli Jemaah Menteri -- perlu berintegriti, beramanah serta bebas dari kes mahkamah.

Selain itu, beliau berkata, Perikatan Nasional juga mahu pimpinan Ismail Sabri menghormati prinsip perasingan kuasa, kebebasan badan kehakiman dan menjunjung konsep Raja Berperlembagaan.

Sementara itu, Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Salak memberitahu media, dalam pertemuan Ahli-ahli Parlimen bersama Agong, Tuanku Baginda mahu mengetahui sama ada sokongan yang dizahirkan itu benar-benar sukarela atau di bawah tekanan.

“Semua sudah pergi menghadap Agong, dan tiap-tiap seorang Ahli Parlimen mengesahkan sokongan mereka, bahawa sokongan dibuat secara rela hati, tanpa paksaan dan sebagainya,” katanya lagi.