Bekas Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Hamidah Osman berkata, beliau rela dihantar ke Tanjung Rambutan daripada berbohong kepada rakyat.

Menurutnya, beliau tidak sanggup berbohong kepada rakyat dan menganiaya bangsa untuk kepentingan sendiri.

Hamidah berkata, beliau tidak mahu 'di hadapan rakyat cakap lain dan di belakang rakyat cakap lain' kerana itu semua akan dijawab di akhirat nanti.

"Saya agak hairan kenapa setelah mengakui (Lim Kit Siang mencadangkan penubuhan Bersatu) Tun Mahathir mencadangkan supaya saya dan Datuk Seri Najib masuk Tanjung Rambutan?

"Namun saya berpendapat biarlah masuk Tanjung Rambutan daripada saya masuk ke neraka kerana berbohong kepada bangsa, agama dan negara," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Hamidah membalas reaksi Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad agar beliau dihantar ke Tanjung Rambutan kerana mendakwa Bersatu ditubuhkan atas cadangan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Hamidah secara sinis mengucapkan terima kasih kepada Mahathir kerana akhirnya mengakui bahawa sememangnya Kit Siang ada mencadangkan penubuhan satu lagi parti Melayu untuk menarik 10 peratus undi UMNO.

"Nampaknya bukan Melayu yang mudah lupa tetapi Kit Siang yang sudah lupa," ujarnya.