Pemimpin PAS diarahkan tidak lagi membuat sebarang kenyataan berhubung isu menteri besar Selangor dan menunggu keputusan keputusan mesyuarat PAs pusat mengenai perkara itu pada 10 Ogos ini.

Portal rasmi parti itu, Harakahdaily melaporkan Setiauasaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata terdapat kenyataan mengenai isu itu melanggar etika berikhtilaf yang tidak selari dengan etika berbeza pendapat dalam jamaah.

"Ini menimbulkan persepsi yang tidak baik terhadap parti," katanya, dan menambah tidak seharusnya berlaku kenyataan yang menyerang peribadi antara satu sama lain dalam kalangan pemimpin PAS.

"Kita harus kembali kepada adab berikhtilaf atau berbeza pendapat yang harus dijurus dan diuruskan mengikut tatasusila kaedah kita berjamaah,” Mustafa Ali dipetik sebagai berkata oleh Harakahdaily.

Mustafa menyeru semua ahli dan pemimpin PAS agar berhenti meneruskan perbincangan isu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim secara terbuka kerana ia boleh menjejaskan kewibawaan dan nama baik parti Islam itu.

"Kita ada saluran-saluran yang telah ditetapkan dalam parti di mana pandangan-pandangan itu boleh disalurkan pada waktu itu,” katanya.

Beliau seterusnya memaklumkan PAS telah memutuskan bahawa isu yang berkaitan dengan kedudukan Khalid sebagai Menteri Besar Selangor akan dibincangkan dalam mesyuarat PAS Pusat pada 10 Ogos nanti.

“Oleh kerana itu, semua pihak harus bersabar menunggu keputusan yang akan dibuat pada mesyuarat tersebut,” katanya lagi.

Isu pertukaran menteri besar Selangor hangat menjelang Aidilfitri apabila PKR bertegas mahu Abdul Khalid berundur dan menamakan Presidennya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai pengganti.

Namun, Presiden PAS dalam satu kenyataan menegaskan partinya tetap berpendirian mahukan Abdul Khalid kekal menerajui Selangor.

Perbezaan pendirian ini menyebabkan ada dikalangan pemimpin PAS memberi bayangan Pakatan Rakyat akan berpecah selepas aidilfitri.

Malah penganalisis politik juga melihat kemungkinan untuk Pakatan Rakyat berpecah tinggi kerana Abdul Hadi dan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berpendapat Abdul Khalid perlu dikekalkan.

Ahli-ahli dan pemimpin PAS dikenali mempunyai dididik dengan disiplin kesetiaan kepada parti yang tinggi dan mungkin akan akur dengan pendirian presidennya.