KUALA LUMPUR: Hubungan kerjasama dengan Pas menerusi Muafakat Nasional (MN) menghangatkan sesi perbahasan Perhimpunan Agung UMNO 2020 hari ini dengan perwakilan mahu kerjasama itu diteruskan berikutan kejayaan yang dicapai hasil kerjasama itu.

Bagi mereka, isu tersebut penting dalam memastikan UMNO dan rakan kerjasamanya itu akan terus melakar kejayaan seperti yang dibuktikan dalam beberapa siri pilihan raya kecil (PRK) yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Mereka juga senada mahukan MN terus diperkukuh sebelum PRU15 akan datang.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak Datuk Saarani Mohamad dalam perbahasannya berkata kerjasama sedia ada antara UMNO dan Pas saling menguatkan kedua-dua parti kerana hubungan itu tidak dibayangi kesangsian dan muafakat yang terbina berpaksikan kejujuran serta keikhlasan.

"UMNO tidak pernah secara senyap-senyap mencuri ahli Pas. Pasjuga tidak pernah mencuri ahli UMNO. Dalam pilihan raya, ketika UMNO bertanding, Pas dan seluruh jenteranya setia membantu. Sepanjang pertempuran di medan pilihan raya, Pas tidak pernah meletakkan calon bebas untuk mengalahkan UMNO," kata Menteri Besar Perak itu.

Beliau berkata piagam MN juga tidak dibentuk untuk mengekalkan kuasa politik tetapi atas rasa keinsafan bahawa pertembungan dua parti besar ini amat merugikan orang Melayu dan Islam.

"Ia dibentuk ketika UMNO dan Pas tidak mempunyai apa-apa kuasa... diherdik dan dicaci sepanjang menjadi pembangkang. UMNO dan Pas teguh bermuafakat dan hubungan kedua-dua parti ini terbina berpaksikan kepada sikap kejujuran dan keikhlasan atas kesedaran pentingnya penyatuan umat Islam tanpa menanam bibit permusuhan dengan kaum lain," katanya.

Nada sama turut didendangkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang merangkap Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang berkata persepakatan dalam MN akan menjadi obor perjuangan serta ramuan dalam menentukan kejayaan kedua-dua parti pada PRU15.

"Adalah menjadi keutamaan kami di Pahang supaya MN terus dikekalkan dan diperkasakan lagi. Saya telah membuat yang terbaik dan sudah tiba masanya untuk dilakukan satu lagi anjakan ke tahap lebih tinggi demi pengukuhannya," kata beliau.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor Tan Sri Noh Omar pula mengajak perwakilan mengimbau kembali perjalanan parti itu bersama Pas termasuk 'kelahiran' MN sewaktu PRK Sungai Kandis pada Ogos 2018.

Beliau berkata kekuatan MN terus teruji di dua PRK iaitu Seri Setia dan Semenyih di Selangor selepas PRK Sungai Kandis yang menyaksikan UMNO tewas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia dan menang di DUN Semenyih.

"Pada masa itu, semangat MN semakin baik dan kerjasama Pas dengan kita juga baik dan jentera mereka kempen bersama. Alhamdulillah dengan semangat MN, kita menang di PRK Semenyih," katanya.

Ketua Wanita UMNO Bahagian Tasik Gelugor Nor Hafizah Othman berkata selain perlu memperkukuh MN serta menyokong ketetapan parti untuk menolak kerjasama dengan PKR dan DAP, UMNO perlu bangkit dan mempersiapkan diri bagi menghadapi pilihan raya.

"Ini penting dalam usaha meluruskan jalur politik negara sebagai persediaan menghadapi PRU15 pada bila-bila masa," katanya.

Beliau juga berkata demi kelangsungan parti, Wanita UMNO mencadangkan beberapa perkara yang perlu diberi penekanan iaitu memperkukuh institusi parti, menghormati kepimpinan tertinggi, meniupkan semangat perpaduan sesama ahli, mengambil berat isu rakyat khususnya perpaduan ummah dan menjuarai isu-isu Melayu dan Islam seperti isu kalimah Allah.

Perhimpunan tahunan itu, yang berlangsung selama dua hari bermula semalam, menyaksikan persidangan tiga sayap parti iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri diadakan secara hibrid menggabungkan kehadiran bersemuka dan secara maya di 190 UMNO Bahagian seluruh negara kecuali Sarawak.

-- BERNAMA