KUALA LUMPUR: Perbezaan pendirian mengenai pengampunan bersyarat Datuk Seri Najib Razak dijangka tidak menjejaskan kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, kedua-dua pihak akan terus bersikap profesional dalam menjalankan tanggungjawab sebagai anggota Kerajaan Perpaduan.
Tambahnya, pendirian PH berlandaskan Perlembagaan dan undang-undang, serta bukan didorong dendam atau sentimen peribadi terhadap Najib.
“Saya tak nampak akan terjejas sebab kita bersikap profesional dalam hal ini. Ia adalah keputusan dasar,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam wawancara bersama The Tiger Show Podcast yang disiarkan Astro AWANI hari ini.
Dalam wawancara itu, Fahmi menegaskan pendirian PH bahawa mereka yang terlibat dalam kes rasuah berprofil tinggi perlu menjalani hukuman penuh sebagai pengajaran kepada rakyat.
“Mereka yang terlibat dalam kes berprofil tinggi dalam isu rasuah perlu menjalani hukuman penuh untuk menjadi satu pengajaran kepada rakyat,” katanya lagi.
Pada masa sama, beliau berkata PH menghormati kuasa Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim untuk membuat keputusan pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Dalam pada itu Ahli Parlimen Lembah Pantai itu turut menjangkakan Jemaah Menteri akan terus melaksanakan tugas dan tanggungjawab sehingga tamat penggal.
Najib sebelum ini diberikan pengampunan bersyarat untuk menjalani baki hukumannya secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.