Skip to main content

Malaysia

16 laporan ancaman siber, kerugian cecah RM79.16 juta dalam 22 hari

Menurut Rusdi, ancaman keselamatan siber ditakrifkan di bawah Seksyen 4 Akta Keselamatan Siber 2024 sebagai perbuatan atau aktiviti tanpa kuasa sah yang memudaratkan atau menjejaskan keselamatan sesuatu sistem komputer. - Gambar fail/Bernama
Menurut Rusdi, ancaman keselamatan siber ditakrifkan di bawah Seksyen 4 Akta Keselamatan Siber 2024 sebagai perbuatan atau aktiviti tanpa kuasa sah yang memudaratkan atau menjejaskan keselamatan sesuatu sistem komputer. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerugian akibat ancaman keselamatan siber mencecah RM79.16 juta dalam tempoh 22 hari, dengan kes kehilangan aset mata wang kripto dan wang dalam akaun bank antara yang dilaporkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman. 

Pengarah JSJK Bukit Aman Datuk Rusdi Mohd Isa berkata sebanyak 16 laporan polis diterima bagi tempoh 10 hingga 31 Okt lepas termasuk 11 kes melibatkan mata wang kripto dengan kerugian RM42.82 juta akibat kompromi keselamatan perkakasan dan kehilangan aset digital berkenaan.

Beliau berkata dua kes lagi melibatkan wang berkurangan dalam akaun bank, masing-masing mencatatkan kerugian RM14.52 juta dan RM21.80 juta, dengan satu daripadanya melibatkan sebuah syarikat. 

Advertisement

"Selain itu, turut dilaporkan kes ancaman siber melibatkan penggodaman paparan skrin LED sehingga memaparkan kandungan tidak wajar dan lucah di Kluang dan Bandar Sunway," katanya kepada pemberita semalam.

Sementara itu, Rusdi berkata statistik kesalahan di bawah Akta Jenayah Komputer 1997 menunjukkan peningkatan kepada 1,297 kes bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini berbanding 1,174 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

Advertisement

Bagaimanapun, jumlah kerugian mencatatkan penurunan kepada RM125.61 juta berbanding RM239.20 juta bagi tempoh sama, katanya.

Menurut Rusdi, ancaman keselamatan siber ditakrifkan di bawah Seksyen 4 Akta Keselamatan Siber 2024 sebagai perbuatan atau aktiviti tanpa kuasa sah yang memudaratkan atau menjejaskan keselamatan sesuatu sistem komputer.

“Dalam mendepani ancaman ini, JSJK komited menjalankan siasatan, memperkukuh keupayaan analisis forensik digital khususnya berkaitan kripto serta mengenal pasti kelemahan keselamatan sistem,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama bersepadu bersama agensi berkaitan antaranya Bank Negara Malaysia (BNM) untuk sistem kewangan manakala Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) bertindak sebagai pihak yang bertanggungjawab penuh berhubung keselamatan siber.

"Kita minta pihak-pihak yang mungkin mengalami serangan atau cubaan (godaman) supaya tampil membuat laporan polis dan jangan berdiam diri walaupun masih belum ada kerugian. (Langkah) ini membolehkan pihak polis memantau dan mengambil tindakan selanjutnya,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement