Ringkasan AI
- Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menyatakan hasrat untuk menyelesaikan isu Cuba sebelum menamatkan penggal perkhidmatannya pada Januari 2029.
- Trump berkata kerajaan AS sedang memantau situasi di Cuba dengan teliti dan menggambarkan negara itu sebagai gagal serta menghadapi krisis teruk.
- AS baru-baru ini mengenakan sekatan ke atas Cuba, memburukkan lagi krisis ekonomi, tenaga dan kemanusiaan di negara Caribbean tersebut.
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Khamis berkata beliau mahu "menyelesaikan isu Cuba" sebelum mengundur diri daripada jawatannya, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
"Saya mahu menyelesaikan Cuba sebelum saya berundur," kata Trump kepada hos radio Hugh Hewitt, yang bertanyakan sama ada beliau sedang mempertimbangkan untuk "membebaskan Cuba" menerusi campur tangan ketenteraan.
"Kami sedang memantaunya dengan sangat teliti. Keadaannya sangat teruk. Pada asasnya ia adalah sebuah tempat atau negara yang gagal, atau apa sahaja yang anda mahu gelarkan," kata Trump.
Penggal perkhidmatan Trump dijadual berakhir pada Januari 2029.
Kerajaan AS baru-baru ini mengenakan beberapa siri sekatan ke atas Cuba, sekali gus memburukkan lagi krisis ekonomi dan tenaga yang berlarutan bertahun-tahun serta darurat kemanusiaan di negara Caribbean yang mempunyai 9.4 juta penduduk itu.
Washington membayangkan ia menjangka perubahan hala tuju ekonomi dan politik di Cuba serta kerajaan negara itu menjauhkan diri daripada kuasa besar seperti China dan Rusia - atas nama keselamatan negara AS.
-- BERNAMA-dpa