KUALA LUMPUR:Ahli politik diminta tidak mengutamakan desakan mahu mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kepada kerajaan berbanding keselamatan rakyat pada saat penularan tinggi COVID-19.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, pengalaman yang diperoleh pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dalam isu pandemik itu seharusnya menjadi iktibar buat semua.

Menurut beliau, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) harus membuat penilaian dalam hal berkenaan.

"Orang politik jangan dahulukan politik mendahului keselamatan dan nyawa rakyat, Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) juga tidak dapat memeranginya dengan berkesan.

"Jangan ambil ringan dan jangan kita mendahulukan perebutan kuasa politik, perlu dibuat penilaian menuntut kebijaksanan semua pihak

"Saya setuju, dalam hal panduan agama, soal nyawa mesti didahulukan dan adalah menjadi tanggungjawab kerajaan mendungi nyawa rakyatnya," katanya semasa sidang media selepas Majlis Serah Tugas Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu di sini, pada Jumaat.

Berdasarkan pungutan suara yang dilakukan di laman Twitter Astro AWANI pada Rabu, ramai berpendapat bahawa mereka tidak bersedia untuk menempuh PRU15 ketika negara sedang memerangi COVID-19.

Sebanyak 86.2 peratus daripada 6,344 responden menyatakan mereka tidak sedia sementara sementara 13.8 peratus lagi berpendapat sebaliknya.

Sebelum ini, Pakar Epidemiologi Prof Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud menegaskan, Malaysia masih belum bersedia untuk mengadakan pilihan raya berskala besar seperti PRU dalam masa terdekat.

Jelasnya, iktibar perlu diambil selepas PRN Sabah baru-baru ini yang menyaksikan peratusan keluar mengundi sangat kurang berbanding PRU 2018.