MELAKA: Setiap pemimpin dalam UMNO mempunyai peranan masing-masing dan ahli-ahlinya pula tidak wajar membuat kenyataan bersifat "mengocakkan air yang tenang".

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, mana-mana pemimpin yang mahu menerajui pimpinan parti mesti melalui proses pemilihan yang sah dan menyerahkan segala keputusan kepada akar umbi.

Menurutnya, UMNO negeri Melaka mengalu-alukan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon perdana menteri bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Jelasnya, keputusan dibuat pihak tertinggi parti itu perlu diterima oleh semua ahli, termasuk menerima seadanya peranan yang boleh dimainkan oleh setiap pemimpin.

"Siapa juga yang ingin menerajui pimpinan parti, dia kena masuk proses.

"Parti kita ada pemilihan dan kita lepaskan pada akar umbi untuk memilih siapa juga yang akan menaungi parti.

"Masing-masing ada peranan... presiden parti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ada peranan dia dalam kemelut untuk mengeluarkan UMNO dari awal permasalahan sehingga hari ini.

"Apabila kita berjaya, jangan kita lupa masing-masing ada peranan, jadi yang akan datanng kita serahkan semula kepada akar umbi untuk memilih peneraju parti kita.

"Tidak semestinya, dalam politik era baharu ini, pertama kali dalam UMNO, yang presidennya tidak menjadi perdana menteri, yang pertama kali juga PM bukan dari Presiden UMNO.

"Maka kita kena lihat politik dan pemikiran secara positif," kata beliau.

Pada Khamis, MKT UMNO sebulat suara mencadangkan Ismail Sabri, yang juga naib presiden parti, untuk menjadi calon perdana menteri bagi PRU15 akan datang.

Susulan itu, Ketua Bahagian UMNO Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, sudah tiba masanya Ismail Sabri diberi amanah sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan pengarah utama jentera pilihan raya BN.

Mengulas lanjut, Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara berkata, fokus parti kini sepatutnya terarah untuk memenangi PRU15 dan peranan semua pihak adalah dalam memastikan kesepakatan.

Keputusan MKT UMNO mengangkat Ahli Parlimen Bera itu pula perlu diberi fokus dan tidak perlu mana-mana pihak meminta ‘itu dan ini’ berikutan perkembangan berkenaan, katanya lagi.