Ketua Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata tidak perlu ada usaha untuk mendoktrinkan persepsi yang salah terutamanya di kalangan ahli-ahli UMNO untuk berani menerima perubahan berikutan isu semasa seperti 1Malaysia Development Berhad dan isu pembelian hartanah anak syarikat Majlis Amanah Rakyat (MARA), MARA Inc.

"Kita melihat persepsi ini bukan sahaja sebagai cabaran utama dalam masyarakat hari ini, malah ia boleh menggugat sesebuah institusi dalam dan luar negara. Perkara ini perlulah ditangani dengan segera dan bijaksana," kata Mas Ermieyati, ketika dihubungi Astro AWANI pada Isnin.

"Dalam situasi yang dikatakan mengurangkan defisit kepercayaan kepada UMNO ini, kita melihat bahawa perlunya ahli-ahli parti untuk melihat (situasi) dalam dua keadaan yang berbeza -- di dalam dan di luar parti.

"Ahli-ahli UMNO perlulah menilai semula setiap keputusan dengan melihat fakta-fakta supaya isu-isu yang dekat dengan rakyat seperti isu rasuah, perpaduan dapat ditangani dengan baik dan jelas," jelasnya.

Menurut ahli Parlimen Masjid Tanah itu lagi, UMNO perlu melakukan perubahan seperti menggalakkan rakyat memberi maklumat kepada kepada pemimpin dalam apa-apa situasi yang boleh membantu siasatan.

"Jangan didoktrinkan persepsi yang salah kerana kita juga perlu mendidik masyarakat bagaimana mahu menyelidik ketika menerima maklumat yang benar atau salah.

Kata Mas Ermieyati, UMNO perlu bijak dalam menguruskan krisis terutamanya dalam usaha untuk mencapai resolusi dalam menyelesaikan apa-apa masalah memandangkan UMNO ialah pertubuhan yang mewakili orang Melayu.

"UMNO merupakan pertubuhan mewakili orang Melayu dan ia (UMNO) perlu sentiasa dilihat menjaga hak Melayu daripada sewenang-wenangnya diperkotak-katikkan oleh orang lain," tambahnya.


Temubual bersama Ketua Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsuddin ketika beliau mengulas bagaimana Puteri UMNO dapat menangani isu persepsi bagi memastikan kelangsungan parti politik di negara ini