Skip to main content

Dunia

Macron dedah ancaman baharu Rusia, Perancis perketat kawalan keselamatan

French President Emmanuel Macron gestures as he addresses the audience during a press conference following a meeting with the 2027 presidential election candidates and party leaders focused on the geopolitical situation and its consequences, at the presidential Elysee Palace in Paris, Friday, Sept. 18, 2026. (Thomas Samson/Pool Photo via AP)
Presiden Perancis, Emmanuel Macron semasa sidang media di Istana Elysee di Paris, pada Jumaat. - Gambar AP
Advertisement

PARIS: Presiden Perancis, Emmanuel Macron memberi amaran mengenai peningkatan ancaman operasi “hibrid” Rusia terhadap Eropah dan mengarahkan langkah perlindungan lebih ketat terhadap infrastruktur kritikal negara itu daripada serangan yang dikaitkan dengan Moscow.

Macron turut menegaskan, sebarang serangan Rusia ke atas wilayah Perancis tidak akan dibiarkan tanpa tindak balas.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan calon Presiden berpotensi dan pemimpin parti politik menjelang pilihan raya Presiden Perancis yang dijadualkan berlangsung pada April dan Mei tahun depan.

“Ancaman hibrid Rusia terhadap rakyat Eropah dan Perancis semakin meningkat,” katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Pertemuan yang berlangsung di bilik krisis Istana Elysee itu bertujuan memberikan taklimat kepada pemimpin politik mengenai penilaian risikan sulit Perancis berhubung cabaran keselamatan semasa.

Turut hadir ialah Ketua Perkhidmatan Risikan Luar Perancis (DGSE), Nicolas Lerner dan Ketua Agensi Risikan Dalam Negeri (DGSI), Celine Berthon.

Sekumpulan calon Presiden serta tokoh politik kanan lain turut menyertai pertemuan itu, termasuk bekas Perdana Menteri, Edouard Philippe, Gabriel Attal dan pemimpin parti sayap kanan National Rally, Jordan Bardella.

Bagaimanapun, calon Presiden National Rally yang mendahului tinjauan pendapat, Marine Le Pen serta pemimpin kiri radikal, Jean-Luc Melenchon tidak menghadirinya.

Ancaman bawah ambang peperangan

Sejak Rusia melancarkan pencerobohan berskala besar ke atas Ukraine pada 2022, negara-negara Eropah yang menyokong Kyiv termasuk Perancis, berulang kali memberi amaran mengenai apa yang disifatkan sebagai “serangan hibrid” berkaitan Moscow.

Serangan itu tidak mencapai tahap peperangan terbuka, namun melibatkan pelbagai taktik termasuk penerbangan dron berhampiran lokasi sensitif, pencabulan ruang udara dan serangan siber.

Awal bulan ini, Jerman menyalahkan Moscow berhubung satu insiden di Lapangan Terbang Leipzig yang menurut Kesatuan Eropah mempunyai ciri-ciri “keganasan yang ditaja negara”.

Insiden dron itu dilihat sebagai petanda peningkatan keberanian Rusia menggunakan taktik sedemikian di wilayah negara anggota NATO.

Susulan perkembangan itu, Macron berkata, beliau telah mengarahkan kerajaan menyediakan pelan perlindungan khusus bagi infrastruktur kritikal, selain memperkukuh kawalan keselamatan terhadap sektor industri pertahanan dan teknologi yang dianggap paling sensitif daripada ancaman dron serta serangan siber.

Beliau turut memaklumkan Menteri Dalam Negeri Perancis telah mengadakan mesyuarat dengan wakil kerajaan wilayah bagi meningkatkan tahap kewaspadaan.

Walaupun berdepan ancaman sedemikian, Macron menegaskan, Perancis akan terus menyokong Ukraine dan memberi amaran bahawa operasi tersembunyi Rusia tidak akan dibiarkan begitu sahaja.

“Ini tidak akan dibiarkan tanpa tindak balas,” katanya tanpa memperincikan bentuk tindakan yang akan diambil.

Menurut beliau, matlamat operasi berkenaan adalah untuk menakutkan negara-negara Eropah dan menggagalkan usaha membantu Ukraine.

“Namun kesannya akan menjadi sebaliknya.

“Kami tidak gentar kerana kami tahu apa yang dipertaruhkan di Ukraine hari ini adalah keselamatan kami sendiri,” katanya.

Pada Ogos lalu, Celine Berthon turut memberi amaran bahawa syarikat-syarikat Perancis berpotensi menjadi sasaran selepas insiden di Leipzig menunjukkan taktik baharu yang mungkin digunakan oleh Rusia.

Awal bulan ini, sebuah kereta api yang membawa 186 penumpang tergelincir di wilayah Normandy, barat laut Perancis, menyebabkan 44 orang cedera.

Pihak berkuasa menemui serpihan logam seberat kira-kira 300 kilogram di atas landasan.

Walaupun terdapat spekulasi dalam kalangan ahli politik dan sumber polis bahawa insiden itu mungkin melibatkan unsur sabotaj, pihak berkuasa Perancis menegaskan, siasatan perlu dijalankan dengan berhati-hati sebelum sebarang kesimpulan dibuat.

Selepas mesyuarat di Istana Elysee, Philippe berkata, Macron menegaskan kepentingan untuk terus menghantar mesej tegas kepada Rusia tanpa menyebabkan Perancis terjerumus ke dalam keadaan permusuhan terbuka dengan Moscow.

Sementara itu, pemimpin Parti Hijau, Marine Tondelier berkata, terdapat “sebab yang serius untuk berasa bimbang” terhadap usaha Rusia yang didakwa cuba menggugat kestabilan negara-negara Eropah.

Menurut sumber yang mengetahui pertemuan berkenaan, Macron mahu berkongsi maklumat sulit yang hanya boleh diakses oleh Presiden Perancis dengan pemimpin politik utama negara itu.

Dalam perkembangan lain, Macron mengumumkan, Perancis akan menganjurkan mesyuarat Kumpulan Tujuh (G7) yang memberi tumpuan kepada isu tenaga ketika harga bahan api terus meningkat susulan konflik antara Amerika Syarikat dan Iran, selain rungutan rakyat mengenai kos sara hidup yang semakin membebankan. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement