Drama konflik dalaman PKR dilihat semakin menarik apabila Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir secara terbuka membidas tindakan Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung surat 'dari penjara' di mana tindakan bekas perdana menteri itu dillihat bakal menambahkan lagi kekeruhan dan pergeseran antara parti-parti pakatan harapan, demikian jelas Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Zein Isma Ismail.

Malah kata Zein lagi, kritikan Tun Dr Mahathir terhadap Datuk Seri Anwar dan menyifatkan beliau sebagai punca segala kekalutan yang berlaku di dalam pakatan harapan hari ini, ternyata lebih terarah untuk menjatuhkan kredibiliti Datuk Seri Anwar sebagai Ketua Umum Pakatan Harapan itu sendiri.

“Saya lihat, ada yang tidak kena apabila Tun (Dr) Mahathir bertindak mengkritik Datuk Seri Anwar secara terbuka melalui media. Beliau tidak akan mengkritik secara terbuka sebegitu, jika tidak ada sebab. Tindakan beliau itu memberikan pelbagai isyarat politik dan boleh menimbulkan pelbagai persoalan serta persepsi.

“Tindakan Tun (Dr) Mahathir itu ternyata telah mengundangkan tindak balas daripada Blue Eye Boy Anwar, Azmin Ali yang kemudiannya membidas Tun (Dr) Mahathir, juga secara terbuka berhubung kenyataan beliau itu dan berkata ia sepatutnya tidak dibicarakan secara terbuka di hadapan media.

“Apa yang menariknya di sini, dalam keadaan PKR hari ini hampir karam kerana kapal mereka telah terbelah dua,tiba-tiba Tun (Dr) Mahathir muncul di pertengahan jalan dengan melontarkan satu kritikan secara terbuka yang pedas dan bisa menjatuhkan kredibiliti Ketua Umum PKR.

“Tindakan Tun (Dr) Mahathir mengkritik Anwar secara terbuka ini saya lihat sama modus operandi beliau mengkritik Datuk Seri Najib secara terbuka hari ini, dan juga Tun Abdullah Badawi sebelum ini, apabila beliau mahukan kedua-dua pemimpin ini meletakkan jawatan,” ujar beliau kepada UMNO Online hari ini.

Sehubungan itu tambah beliau lagi, timbul persoalan dalam menjustifikasikan tindakan Tun Dr Mahathir ini di mana mungkinkah wujudnya usaha-usaha pihak tertentu untuk memusnahkan kredibiliti Anwar sebagai Ketua Umum Pakatan Harapan.

“Timbul persoalan, apakah ini memperlihatkan bahawa ada usaha di kalangan pihak-pihak tertentu bertujuan untuk melemahkan, atau melumpuhkan PKR secara serentak dari akar umbi sehinggalah kepada pemimpin utama mereka?

“Apakah hubungan Tun (Dr) Mahathir dan Anwar masih dalam keadaan perang dingin, saling tikam menikam, dan hanya berlakon mesra di hadapan umum seolah-olah tidak apa yang berlaku antara mereka untuk mengaburi mata rakyat?,” katanya.

Mengulas lebih lanjut tentang perkara itu, Zein yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Subang menyifatkan segala konflik dan pertelagahan sesama sendiri yang berlaku di dalam pakatan harapan itu merupakan satu isyarat yang jelas kepada rakyat, bahawa pakatan harapan sememangnya masih lemah dari pelbagai sudut dan tidak mampu untuk menjadi sebuah kerajaan yang stabil untuk mentadbir negara.

“Jika kita lihat senario politik pembangkang, perkara yang paling ketara adalah tidak adanya persefahaman dan persamaan dari sudut agenda nasional. Bagaimana mereka mahu mentadbir negara jika tidak ada persefahaman untuk mentadbir negara, yang sudah pasti cabarannya lebih besar daripada mentadbir parti.

“Apa akan jadi pada negara jika kita berikan mereka mandat, mereka terus menerus bertelagah sesama sendiri dalam soal-soal pokok negara bangsa, soal pembahagian kuasa dan soal pentadbiran negara? Apakah jaminan mereka jika diberikan kuasa, segala konflik dalaman dan pertelagahan sesama mereka dapat di selesaikan?

“Justeru itu saya berharap agar rakyat berfikir secara rasional dalam memberikan mandat kepada mana-mana parti politik untuk mentadbir negara. BN ada 13 parti di dalamnya yang mewakili semua kaum di negara ini, masih lagi berada di dalam keadaan stabil dan cemerlang berkhidmat untuk rakyat sejak lepas merdeka sehingga kini.

“Pakatan Harapan pula hanya ada lima parti sahaja, namun konflik sentiasa berlaku dan tidak pernah selesai hingga ke hari ini. Berdasarkan perbandingan semudah itu, saya yakin rakyat dapat menilai gabungan parti politik manakah yang lebih diyakini untuk mentadbir negara ini,” akhiri beliau. -MediaUMNO