Akhbar rasmi PAS, Harakah menafikan laporan penerbitan terbarunya mengenai penyertaan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ke dalam PAS.

Ketua Pengarang Harakah, Lutfi Othman berkata, pihaknya hairan dengan penyebaran berita itu yang dikatakan diterbitkan dalam edisi terbaru akhbar tersebut.

"Bagaimana ada Harakah edisi terbaru sedangkah penerbitannya minggu ini hanya akan dikeluarkan pada esok (Khamis)?," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini.

Lutfi mengulas isu penerbitan Harakah terbaru yang menyiarkan berita Abdul Khalid menyerahkan borang menjadi ahli PAS kepada Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali.

Berita Abdul Khalid menyertai PAS itu turut disebarkan melalui laman sosial Twitter sebuah portal berita.

Bagaimanapun, ia didapati sudah dipadamkan.

Jelasnya, Harakah kini sangat berhati-hati dalam berita berhubung Abdul Khalid dan memberi keutamaan kepada setiap laporan Menteri Besar Selangor berkenaan.

"Sehingga 17 Ogos ini, kita memang sangat berhati-hati dan tidak mahu dilihat memberi pandangan yang akan mengeruhkan suasana.

"Sebab itu kita kata, Harakah tidak pernah mengeluarkan berita berkenaan dan apa yang dibaca adalah Harakah palsu," ujarnya.

Dalam pada itu Lutfi menambah, isu pengeluaran Harakah palsu itu bukan perkara baru bagi pihaknya.

"Ada beberapa isu yang mengggunakan masthead Harakah dan akhbar palsu ini diedar ke beberapa lokasi yang dilihat strategik dengan tujuan mengelirukan.

"Kita tidak pasti apa tujuan pengeluaran edisi berkenaan. Biasanya edisi palsu ini banyak diterbitkan semasa kempen pilihan raya," katanya.

Harakah merupakan akhbar rasmi PAS yang diterbitkan dua kali seminggu dan mencatat edaran kira-kira 250,000 setiap pengeluaran.

Sebelum tahun 2008, ia diterbitkan dua kali sebulan.