Mana-mana pihak tidak perlu mempolemikkan cadangan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman supaya ketua-ketua bahagian dan cawangan parti itu diberikan projek kerajaan.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Abu Bakar Yahya berkata, cadangan tersebut hanya pandangan peribadi dan bukan satu keputusan atau ketetapan yang dipersetujui sebulat suara parti itu.

"Bersatu merupakan parti yang mengamalkan prinsip terbuka, menerima pelbagai pandangan daripada semua pihak. Justeru, semua pihak bebas mengemukakan sebarang cadangan yang mereka rasakan perlu.

"Bagaimanapun, tidak semestinya cadangan yang dibuat itu diterima serta diluluskan oleh parti sebagai satu ketetapan.

"Justeru, saya fikir tidak perlu perbesar-besarkan apa yang dinyatakan beliau," katanya, yang juga yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam satu kenyataan hari ini.

BACA: 'Rakyat Malaysia tidak bodoh' - Syed Saddiq kecam kenyataan Abdul Rashid

BACA:
Jangan lupa jasa Ketua Bahagian - Abdul Rashid

Beliau mengulas kenyataan Abdul Rashid yang dibuat ketika menyampaikan ucapan penggulungan sempena perhimpunan agung kedua Bersatu Ahad lalu.

Dalam ucapannya, Abdul Rashid mencadangkan peranan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dikembalikan supaya sistem itu memanfaatkan ketua cawangan dan bahagian parti selain diberikan semula kepada masyarakat setempat.

Menurutnya, kaedah itu berupaya memastikan ketua bahagian dan cawangan mempunyai peruntukan mencukupi untuk menjalankan program di kawasan mereka sekali gus meraih sokongan pengundi.

Dalam perkembangan lain, Abu Bakar berkata beliau menyokong penuh cadangan pemilihan jawatan kepimpinan Bersatu dibuat mengikut sistem satu ahli satu undi berbanding sistem undi perwakilan.

"Sistem satu ahli satu undi diyakini lebih telus, demokratik sekali gus menggalakan mana-mana pemimpin yang ingin bertanding supaya bekerja lebih keras dan menunjukkan disiplin serta kemampuan dalam kepimpinan.

"Ahli-ahli mengangkat pemimpin yang mereka rasakan layak. Jadi, adalah lebih baik diserahkan kepada ahli sahaja hak untuk menentukan kepimpinan parti," ujarnya.