Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah kepada rakyat negara ini untuk membuka mata dan tidak terpengaruh dengan apa yang dikatakan oleh individu berusia 93 tahun yang ingin menjadi perdana menteri.

Titah Tunku Ismail dimuat naik dalam laman rasmi Facebook Johor Southern Tigers, pada malam Sabtu.

Tambah beliau, inilah masanya untuk 'restore the order' (pulihkan keadaan) sistem yang sudah dirosakkan oleh individu tersebut.

Kata Tunku Ismail lagi, negeri Johor tidak akan pernah lupa kepada individu yang ingin membubarkan Angkatan Setia Negeri Johor (JMF) yang wujud sejak 1886 dan berangan mahu menarik kuasa Sultan Johor yang memerintah serta memperkecilkan perlembagaan negeri Johor yang wujud sebelum adanya negara bernama Malaysia.

Jelas beliau lagi, nasihat dan perkongsian pendapatnya bukan sebagai ahli politik yang perlukan undian, tetapi datang dari hati sebagai seorang anak raja yang berkhidmat kepada rakyatnya.