IPOH: Jawatankuasa Pilihan Khas Bagi Mengkaji Enakmen-Enakmen Negeri Perak Darul Ridzuan merupakan yang pertama seumpamanya diwujudkan oleh Dewan Negeri bagi memperkasakan amalan demokrasi berparlimen.

Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Yang Dipertua Dewan Negeri Perak dan timbalannya adalah Timbalan Yang Dipertua Dewan Negeri Perak.

Selain mempunyai lapan orang ahli tetap yang terdiri daripada empat orang ahli kerajaan dan empat orang ahli pembangkang.

Yang Dipertua Dewan Negeri Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, Jawatankuasa Pilihan Khas ini berfungsi sebagai salah satu cabang penting legislatif.

"Ia termasuk semakan kepada Enakmen-Enakmen Negeri bagi membantu memajukan Perak dan menjaga kebajikan rakyat selaras dengan hasrat penubuhannya.

"Jawatankuasa Pilihan Khas ini akan mengambil tindakan atau ketetapan, sama ada Enakmen tersebut perlu dibawa ke Dewan Negeri Perak atau dipinda atau dimansuhkan dari semasa ke semasa berdasarkan keperluan dan kepentingan negeri," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Ujarnya, Jawatankuasa ini baru sahaja ditubuhkan dengan kelulusan sebulat suara oleh setiap Dewan Negeri pada Mesyuarat Kedua Tahun Keempat Dewan Negeri Yang Keempat Belas bertarikh 20 Disember tahun lalu.

"Mesyuarat Bilangan 1 Tahun 2022 untuk Jawatankuasa Pilihan Khas Bagi Mengkaji Enakmen-Enakmen Negeri Perak Darul Ridzuan telah berjaya dilaksanakan.

"Untuk makluman, setakat ini dianggarkan Dewan Negeri Perak telah menggubal dan meluluskan sebanyak 453 enakmen yang terdiri daripada 260 enakmen ibu dan 193 enakmen pindaan, tidak termasuk undang-undang subsidiari," katanya.

Jelasnya, sebagai permulaan Jawatankuasa Pilihan Khas Bagi Mengkaji Enakmen- Enakmen Negeri Perak telah mengorak langkah pertama dengan mengkaji Enakmen Pengurusan Pesisir Pantai Perak 2016.

Katanya, pihak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) turut hadir untuk menyampaikan taklimat berkaitan enakmen tersebut.

"Jawatankuasa ini diharapkan agar terus menjadi tunjang penambahbaikan setiap Enakmen-Enakmen Negeri Perak Darul Ridzuan.

"Ini merupakan salah satu penambahbaikan yang telah digerakkan oleh Dewan Negeri Perak," ujarnya lagi.