KLANG: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memperoleh undian tertinggi Jawatankuasa Pimpinan Nasional Parti Amanah Negara (Amanah) bagi sesi 2023 hingga 2026.

Ahli Parlimen Kuala Selangor itu mendahului senarai 27 pemimpin Amanah yang dipilih perwakilan melalui undian e-voting dengan memperoleh 900 undi.

Sementara itu, Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu berada di kedudukan kelapan dengan undian sebanyak 613 undi.

Mengikut rapat Dr Dzulkefly ialah Khalid Abdul Samad yang juga merupakan Pengarah Komunikasi Amanah, dengan 899 undian.

Azli Yusof berada di kedudukan ketiga tertinggi dengan 755 undian, sementara Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa di kedudukan keempat (699 undi).

Bagi jawatan Speaker pula, Azhar Ab Shukur mendapat undian tertinggi iaitu sebanyak 509, manakala jawatan Timbalan Speaker dimenangi oleh Onn Jaafar (426 undi).

Ketika ini, 27 Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional Amanah bagi 2023/2026 sedang bermesyuarat bagi memilih individu yang akan mengisi lima jawatan tertinggi dalam parti iaitu Presiden; Timbalan Presiden; serta tiga Naib Presiden.

Kira-kira 1,003 perwakilan terlibat dalam proses pemilihan Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional Parti Amanah bagi 2023/2026.

Menurut perlembagaan Parti Amanah, kedudukan lima jawatan tertinggi termasuk Presiden ditentukan secara konsensus oleh 27 pimpinan tertinggi yang dipilih oleh perwakilan, dan seseorang hanya boleh menjadi presiden selama tiga penggal berturut-turut.