KUALA LUMPUR: Ahli Politik perlu mengambil serius beberapa titah amanat dan teguran Yang di Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi mewujudkan suatu kestabilan politik dan fokus ke arah membendung COVID-19 dan selesai krisis ekonomi.

Jelas Felo Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir, sekiranya masih bercakaran dan mengendahkan titah Baginda Tuanku, maka beliau menyifatkan mereka ini bobrok, tidak mempunyai integriti, tiada maruah serta mementingkan diri sendiri.

"Kerana berdasarkan apa yg dititahkan Agong semalam sudah terang dan Ketua Pembangkang sendiri sahkan Agong mahu politik baharu. Nasihat Sultan Johor juga amat jelas.

"Kalau ini sudah tidak dapat masuk dalam pemikiran ahli politik kita, saya fikir dapat kita katakan mereka ini bobrok, tiada integriti, tiada maruah dan hanya pentingkan diri sendiri," kata Dr Jeniri dalam program Buletin AWANI Khas pada Rabu.

Bagi Dr Jeniri, isu utama yang perlu difokuskan pada ketika ini adalah membantu rakyat dan bukannya menambah derita dan sakit kepada rakyat dengan pergelutan sesama sendiri.

Jelasnya, berdasarkan ketidaktentutan politik ini menyebabkan dalam tempoh tiga tahun, tiga kerajaan sudah bertukar, pastinya episod ini tidak lagi boleh diterima.

Dengan mengambil contoh apa berlaku di Jepun, sebanyak lima kali kerajaan bertukar, pastinya ia tidak boleh diterima dalam konteks negara kita.

"Bagi saya amat malu kalau pemimpin kita tidak mendengar lagi nasihat dan titah Agong. Berapa kali baginda nak bagi titah nasihat dan perintah.

"Saya fikir ini kalilah sahaja untuk pemimpin politik harus buktikan mereka tidak hanya mementingkan diri sendiri atau kuasa," katanya.

Jesteru beliau mengharapkan, kemelut ini dapat diselesaikan dengan segera dan kembalikan kepercayaan rakyat kepada institusi politik ini.