KUALA LUMPUR: Tiada jaminan bahawa UMNO akan menang besar jika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tetap diadakan pada tahun ini.

Penganalisis politik yang juga Pensyarah Kanan Pusat Perdana, Fakulti Teknologi Dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Mazlan Ali berpandangan, UMNO ketika ini masih percaya dengan teori bahawa mereka mempunyai kelebihan jika PRU15 diadakan segera, berdasarkan kemenangan di beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.

Begitupun, hakikat sebenarnya rakyat khususnya pengundi di atas pagar sedang memberi reaksi terhadap isu-isu semasa termasuk rasuah dan keadaan ekonomi, yang kemungkinan besar menjejaskan kemenangan UMNO, ujarnya lagi.

"Pengundi atas pagar mula menunjukkan sikap kepada politik dan mereka melihat kepada isu-isu rasuah.

"Ketika ini pembangkan banyak isu yang boleh dimainkan untuk PRU15 akan datang. Maka, kelebihan UMNO di Johor dan Melaka, mungkin pada PRU15 dalam jangka masa terdekat tidak lagi mempunyai kelebihan," katanya kepada Astro AWANI di sini pada Sabtu.

Selain itu, Mazlan berkata situasi ekonomi yang tidak menentu ketika ini turut akan dijadikan isu yang bakal memberi tempias kepada UMNO.

"Bahkan ahli ekonomi meramalkan negara berdepan getir dan banyak ahli ekonomi yang meminta rakyat untuk berjimat.

"Ini mencetuskan kebimbangan rakyat dan beri prestasi kepada UMNO dalam PRU15.

"Jadi saya fikir tidak ada jaminan untuk UMNO walaupun parti itu sudah menang besar di Melaka dan Johor," tambah Mazlan.

Selain itu, Mazlan berkata Ismail Sabri disaran mendapatkan pandangan daripada rakan-rakan parti komponen yang membentuk kerajaan sebelum menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.

Ini kerana, Perdana Menteri ketika ini dilihat berada dalam situasi sukar untuk membuat keputusan memandangkan beliau bukan individu pertama yang memegang jawatan dalam parti, berbeza ketika era pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Mungkin dalam situasi UMNO bukan parti yang mendominasi kerajaan, Perdana Menteri perlu juga perlu melihat pandangan-pandangan daripada rakan-rakan komponen yang membentuk kerajaa hari ini.

"Maka di sini situasi kita lihat berbeza dalam pentadbiran Najib dahulu, yang mana beliau dalam situasi tidak sukar untuk membubarkan Parlimen tidak seperti yang dihadapi Ismail Sabri.

"Saya fikir banyak perkara yang perlu dipertimbangkan oleh beliau walaupun dalam mesyuarat semalam Perdana Menteri menggambarkan persetujuan supaya pilihan raya dilakukan dengan segera," katanya.

Mengulas lanjut, beliau juga menyarankan agar Perdana Menteri mempertimbangkan situasi bencana banjir yang diramal berlaku sebelum menasihati Yang di-Pertuan Agong berhubung tarikh pembubaran Parlimen.

Hari ini, Perdana Menteri belum menyatakan tarikh pembubaran Parlimen bagi memberi laluan PRU15.

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata, setakat ini tiada sebarang syarat diletakkan untuk mempercepat pilihan raya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan UMNO kekal dengan keputusan yang dipersetujui pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) malam tadi.

MKT UMNO pada Jumaat malam bersetuju untuk Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat, bagi membolehkan PRU15 diadakan tahun ini.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, berdasarkan keputusan itu, Perdana Menteri akan mempersembahkan tarikh pembubaran kepada Yang di-Pertuan Agong selaras Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.