KUALA LUMPUR: Keputusan tidak rasmi Pemilihan Keadilan 2022 peringkat cabang dan pimpinan utama Majlis Pimpinan Pusat, yang telah diumumkan pada 29hb Mei 2022 masih di dalam proses penelitian sebelum keputusan muktamad dikeluarkan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Dr Zaliha Mustafa berkata, keputusan itu termasuk di peringkat cabang, yang membolehkan jawatankuasa cabang yang dipilih, bermesyuarat dan bersedia menghantar perwakilan ke Kongres Nasional seperti yang dijadualkan.

Beliau berkata, Panel Aduan Pemilihan Keadilan 2022 akan terus meneliti aduan-aduan yang diberikan oleh anggota-anggota parti melalui saluran rasmi JPP 2022, dan Panel Aduan JPP 2022 telah mencadangkan beberapa cadangan tindakan yang mungkin boleh mengubah keputusan tidak rasmi tersebut.

“Bertitik tolak dari cadangan Panel Aduan, JPP 2022 telah bersetuju untuk mendapatkan khidmat Pakar Digital yang kepakaran mereka adalah untuk melaksanakan audit secara menyeluruh terhadap sistem yang dibangunkan dan mereka kini sedang bertungkus lumus untuk memenuhi garis masa yang telah ditetapkan.

“JPP 2022 berpuashati dengan kemajuan kerja-kerja Juruaudit Pakar Digital yang dilantik dan yakin bahawa dapatan yang akan dikemukakan kelak akan dapat memberi penjelasan kepada persoalan-persoalan serta kecelaruan pemahaman yang timbul dan ditimbulkan oleh pengadu-pengadu,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Zalifa berkata, JPP 2022 memerlukan sedikit masa lagi sebelum memberikan senarai pemenang-pemenang Pemilihan Keadilan 2022 di peringkat pimpinan Keadilan cabang, Wanita Keadilan cabang dan Angkatan Muda Keadilan cabang, serta di peringkat Pusat yang sudah dimuktamadkan dan rasmi kepada pejabat Setiausaha Agung.

Beliau berkata, senarai tersebut juga bagi bertujuan untuk memuktamadkan perwakilan-perwakilan yang akan hadir ke Kongres Nasional.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution dalam kenyataan susulan berkata, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) telah meneliti beberapa dapatan dan syor yang dibentang JPP berhubung proses aduan terutama bagi Pemilihan Keadilan 2022.

“Setelah meneliti dan memberi pertimbangan  kepada pembentangan JPP ini, dengan mengambil kira tempoh masa yang diperlukan untuk JPP mengurus dan menyelesaikan beberapa perkara yang telah dibangkitkan, serta untuk memberi masa yang mencukupi kepada kepimpinan Cabang yang baharu untuk membuat beberapa pelantikan, MPP telah memutuskan bahawa tarikh baharu bagi Kongres Nasional ke-16 ialah pada 16-17 Julai 2022 di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam, Selangor.

“Kongres Angkatan Muda Keadilan Pusat serta Kongres Wanita Keadilan Pusat pula akan diadakan serentak pada 15 Julai 2022 di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam, Selangor,” katanya lagi.