Perlantikan Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong sebagai Presiden baharu MCA dilihat bakal menjadi tugas sukar buatnya.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Rusdi Omar berkata, sama ada Ka Siong mampu memberi impak yang besar kepada MCA itu adalah persoalan yang agak sukar.

“Masyarakat Cina di negara sudah bersama DAP apatah lagi parti itu kini telah berada dalam kerajaan Persekutuan.

“Jadi saya tak nampak MCA mampu untuk meraih kembali sokongan kaum Cina di negara ini dan ia bukanlah tugas yang mudah buat beliau walaupun dari segi kepimpinan beliau memang layak diangkat sebagai presiden parti itu,” katanya hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, walaupun berlaku perubahan yang besar dalam MCA, namun ia tidak memberi jaminan bahawa parti ini mampu survive di dalam politik Malaysia.

“Saya juga tak menolak kemungkinan bahawa MCA juga akan berpindah ke Pakatan Harapan (PH) kerana kalau kita lihat Gerakan pun sudah keluar dari Barisan Nasional (BN), jadi dalam BN cuma tinggal tiga parti sahaja.

“Jadi agak sukar untuk MCA kembali menawan hati kaum Cina sebab pengundi ini sudah sebati dengan DAP sejak PRU13 lagi,” ujarnya.

Katanya, bagi memastikan MCA kekal relevan, Ka Siong perlu memikirkan strategi dan membuat keputusan yang tepat supaya keyakinan pengundi kembali terhadap parti itu.

“Apa yang penting, macam mana MCA mahu tarik semula sokongan kaum Cina kepada mereka, sama ada bersama dengan BN atau PH.

“Bagaimana caranya, itu beliau sendiri perlu berfikir secara luar biasa,” katanya.

BACA: Wee Ka Siong presiden baharu MCA

BACA: Wong wanita pertama sandang jawatan Ketua Pemuda MCA


Sementara itu, beliau turut berpendapat bahawa pelantikan Ketua Pemuda MCA yang diwakili seorang wanita iaitu Nicole Wong Siaw Ting hanya menjejaskan imej parti tersebut.

“Ini menjadi tanda tanya, apa yang berlaku kepada MCA. Bagi saya ini bukan satu kelainan atau kelebihan, tapi keadaan itu menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dalam parti itu.

“Bukan hanya dalam MCA, malah dalam parti mana pun Ketua Pemuda sepatutnya adalah di kalangan lelaki bukannya wanita. Ini bukan masa yang sesuai seorang wanita mengetuai Pemuda,” katanya.