KUALA LUMPUR : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berdepan cabaran besar dalam memastikan political will atau keazaman politik dilaksanakan terlebih dahulu sebelum mahu membawa sebarang perubahan.

Penganalisis politik, Prof. Sivamurugan Pandian berkata, situasi politik pada ketika ini menyaksikan rakyat mahu melihat sesuatu keputusan atau jalan penyelesaian.

"Kita pernah melihat, sewaktu 22 bulan semasa PH (Pakatan Harapan) mentadbir urus negara sekali pun, ketika itu pun sukar untuk melaksanakan perubahan dan pembaharuan.

"Bermakna dalam konteks sekarang ini, beliau mahukan pasukan yang mampu untuk memastikan kepentingan politik boleh dilakukan dan perlu mencari kedamaian baik dalam atau di luar kerajaan, sentiasa mengimbangi kedudukan itu untuk kestabilan," katanya kepada Astro AWANI pada Jumaat.

Menurut Sivamurugan, fasa pertama iaitu bagi memahamkan Kabinet dan blok yang ada itu disifatkan getir bagi Anwar dalam memastikan barisan jemaah menteri itu mengutamakan perkara yang menjadi pokok kepada rakyat.

"Kepentingan politik, percaturan politik dan permainan politik harus dihentikan. Mudah untuk kita bercakap, tetapi saya pasti pemain-pemain ini ada kepentingan tertentu yang mahu mereka dahului.

"Dalam konteks inilah kita mahu capai satu tahap kematangan yang berbeza. Transisi ini akan memakan masa," ujar beliau lagi.

Dalam pada itu, katanya, 'pengkaderan' dalam parti politik diperlukan bagi mewujudkan perubahan dalam kesinambungan kepimpinan.

"Mereka inilah yang saya rasa akan menzahirkan rasa tanggungjawab, komitmen dan mengambil iktibar atas apa yang berlaku.

"Di Jepun misalnya, sesuatu keputusan parti atau mana-mana pertubuhan atau universiti atau sebagainya, jika wujud salah laku atau integriti, maka mereka akan melepaskan jawatan kerana maruah diri yang dipikul," tegas Sivamurugan lagi.

Dalam konteks Malaysia pula, katanya, ahli politik dan masyarakat dilihat masih terikat dengan 'budi' dan ia menuntut satu pembaharuan struktur dan pemikiran.