IPOH:Pas perlu memaklumkan hala tujunya dengan jelas sama ada memilih untuk bersama Muafakat Nasional (MN) atau Perikatan Nasional (PN).

Ia supaya parti itu tidak tercicir seperti yang pernah berlaku ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, September lalu, kata Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad.

Ia juga bagi memudahkan Pengarah Pilihan Raya UMNO Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman membuat perancangan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sebagai Pengarah Pilihan Raya UMNO, Tajuddin perlu tahu mana-mana kawasan yang terlibat secara langsung dalam sebarang bentuk kerjasama, tambah Saarani.

"Pas perlukan satu hala tuju yang jelas. Tidak mahu diulangi barangkali, kelemahan dan kesilapan yang berlaku semasa PRN Sabah.

"Semasa PRN Sabah, di Sabah tidak ada MN, di Sabah hanya ada PN. Sebab itu, akhirnya kita dapati Pas tercicir.

"Ia barangkali mengharapkan MN, sedangkan di Sabah tak ada MN, tak ada (kerjasama) Pas dengan UMNO di Sabah.

"Pas sepatutnya pada waktu itu berunding dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), sebab ia di dalam PN. Ada PN di Sabah.

"Kalau tak ada hala tuju jelas, takut Pas tercicir, macam yang berlaku di Sabah. Jadi, Pas kena jelaskan," katanya. 

Beliau ditemui selepas rakaman program penghijauan Malaysia melalui kempen penanaman 100 juta pokok peringkat negeri Perak di Taman Eko Rimba Kledang Saiong, di sini, hari ini.

BACA: "Pas mahu bersama MN atau PN?" - Tajuddin Rahman

BACA: UMNO, Pas setuju daftar Muafakat Nasional secara rasmi

BACA: Pas nafi batal kerjasama dengan UMNO dalam MN, dakwa ia berita palsu

Saarani yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak berpendapat, dengan adanya hala tuju jelas itu, memudahkan Tajuddin merencana dan merancang apa yang perlu dilakukan menjelang PRU15.

Pada Sabtu, Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak berkata, Pas perlu membuat keputusan segera sama ada mahu bersama dengan MN atau PN menjelang PRU15.

Ini kerana, setakat ini, parti itu masih belum mempunyai pendirian yang jelas mengenai kerjasama mereka untuk menghadapi PRU-15.

BACA: Pas akan jadi pendamai, jernihkan hubungan PN dan MN

VIDEO: Politik: Pas Kelantan mahu perkukuh MN, pertahan PN