SHAH ALAM: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta menilai semula tindakan ahli-ahli Parlimen pembangkang yang mengisytiharkan sokongan kepada kerajaan.

Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh mendakwa, ahli-ahli Parlimen pembangkang yang mengalih sokongan disifatkan sebagai lompat parti namun sekadar menggunakan istilah berbeza.

Sedangkan menurutnya, Akta Anti Lompat Parti bertujuan menghalang katak-katak politik untuk melompat sesuka hati sekali gus mengelakkan drama politik yang berpanjangan.

"Tetapi rupa-rupanya walaupun akta anti lompat parti telah diluluskan, katak-katak ini tetap melompat menggunakan nama yang lain sahaja iaitu menyokong kerajaan tanpa keluar parti.

"Saya mohon agar PMX untuk menilai semula mereka-mereka yang melompat ini agar agenda reformasi Parlimen dapat dilaksanakan dengan baik dan mencapai tujuan sebenar reformasi tersebut," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Beliau berkata, dengan Akta Anti Lompat Parti, sepatutnya wakil rakyat yang dipilih boleh terus fokus untuk berkhidmat bagi rakyat yang memilih mereka dan parti yang mereka wakili.

"Cukup-cukuplah dengan drama politik sebelum ini, rakyat sudah penat dan muak dengan drama politik tersebut

"Kini adalah masa untuk fokus membantu rakyat," katanya.

Pada Selasa, Ahli Parlimen Gua Musang, Datuk Mohd Azizi Abu Naim daripada Perikatan Nasional (PN) mengisytiharkan sokongan kepada Anwar berkuat kuasa serta-merta.

Katanya, keputusan itu dibuat bagi memastikan kebajikan penduduk di kawasannya terbela selain terus mendapat pelbagai manfaat termasuk peningkatan kemudahan infrastruktur.

Mohd Azizi merupakan ahli Parlimen daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketiga yang mengisytiharkan sokongan kepada kepimpinan Anwar.

Oktober lalu, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, diikuti Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman mengambil tindakan sama.

Manakala hari ini, Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik pula menyatakan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian