POLITICS
Kaukus rentas parti pacu reformasi - Saifuddin

Saifuddin menyifatkan penubuhan kaukus rentas parti yang melibatkan ADUN dan organisasi masyarakat sivil sebagai usaha memperkukuh reformasi struktur pentadbiran dan budaya politik negeri. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Penubuhan Kaukus Demokrasi Pelbagai Parti (KDPP) disifatkan sebagai pemangkin penting kepada agenda reformasi institusi di peringkat negeri, menurut Datuk Seri Saifuddin Abdullah.
Beliau menegaskan bahawa kaukus rentas parti seperti ini mampu memperbaiki struktur dan proses membuat keputusan, termasuk undang-undang serta dasar pentadbiran negeri.
"Kewujudan KDPP amat penting dari segi reformasi institusi secara khusus, iaitu untuk memperbaiki struktur dan proses membuat undang-undang, peraturan-peraturan dan pelbagai keputusan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Tambah beliau kewujudan KDPP melengkapkan inisiatif Parlimen sejak 2018 seperti Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK), Kaukus Parlimen dan Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (APPGM).KDPP dianggotai lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari lima negeri dan turut disertai tiga organisasi masyarakat sivil (CSO).
Sekretariatnya dikendalikan oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) serta Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS).
Antara fokus utama KDPP termasuk agihan Peruntukan Pembangunan Kawasan (CDF) secara adil, pembaharuan sistem pendanaan politik, dan memperkukuh semak dan imbang rentas parti.
Saifuddin yang juga merupakan Pengerusi Perikatan Nasional Pahang berkata, platform seperti KDPP penting dalam membina budaya politik yang lebih matang dan berasaskan ilmu.
Beliau menyifatkan usaha ini sebagai lanjutan kepada pendekatan “Politik Baru” yang digagaskan sejak 2008, yang menekankan demokrasi pelbagai kaum dan pendekatan sederhana.
“Platform-platform begini signifikan untuk perundingan dalam merangka dasar-dasar dan program-program serta menyelesaikan masalah-masalah dengan fakta dan bijaksana,” katanya lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami