KOTA KINABALU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah menerima tamparan hari ini dengan peletakan jawatan Datuk John Ghani sebagai Naib Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN).

Keputusan itu menurut John diambil kerana sudah hilang kepercayaan terhadap tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama kerajaan pusat sebelum ini.

Menambahkan lagi rasa tidak puas hatinya, tindakan menggantikan Pengerusi MPN PKR Sabah, Datuk Christina Liew dengan Datuk Sangkar Rasam beberapa hari lepas.

"Perkara pertama berkenaan dengan menandatangani MoU Pakatan Harapan. Anwar Ibrahim sendiri sebagai ketua pembangkang  buat MoU dengan kerajaan.

"Tidak ada manfaat kepada parti. Tidak ada dalam sejarah, sebuah parti pembangkang yang begitu ditakuti dan digeruni begitu kuat oleh kerajaan menandatangani MoU dengan kerajaan.

"Apabila kita menandatangani MoU dengan kerajaan, maknanya kita sebahagian daripada kerajaan. Apa masalah-masalah melibatkan kerajaan sudah tidak wujud lagi", katanya ketika ditemui media di Hotel Hyatt, Kota Kinabalu.

Tambahnya, tindakan Anwar menggantikan Christina Liew dengan Sangkar Rasam sebagai pengerusi baru MPN PKR Sabah di saat PRU-15 semakin hampir merupakan langkah yang kurang tepat selain memecahkan kesatuan parti itu.

"Anwar sendiri tahu masalah PKR Sabah. Kem YB Christina, Raymond dan Sangkar sedang bersaing. 

"Kita berharap kedatangan Anwar itu untuk menyelesaikan masalah tapi tidak, dia lepaskan Christina sebagai Pengerusi MPN PKR Sabah, dan lantik Datuk Sangkar sebagai pengerusi baru .

"Untuk menukar pemimpin boleh tapi tidak sesuai pada waktu ini di mana kita mahu menghadapi pilihanraya.

"Sepatutnya dia (Anwar) datang ke sini menyatukan kami semua, bukan memecahkan. Dia memecahkan kami semua", beliau berkata.

Veteran PKR berusia 72 tahun itu menambah, penggantian Christina kepada Rasam berpotensi menyebabkan PKR kehilangan kerusi parlimen di Tawau dan kerusi DUN Api-Api.

"Ya, seperti yang berlaku di Semenanjung. Ini sepatutnya jadi satu pengajaran tapi saya tidak tahu apa terjadi kepada dia (Anwar)", tambah John.

John sebelum ini juga pernah memegang jawatan Naib Presiden PKR di dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP) selepas posisi itu ditinggalkan oleh Allahyarham Datuk Lajim Ukin.

Berjuang selama 16 tahun bersama PKR, Johm belum membuat keputusan untuk menyertai mana-mana parti politik buat masa ini.

Untuk rekod, Datuk John memulakan karier politik seawal usia 22 tahun bersama USNO dan pernah memenangi kerusi kerusi DUN Kuala Penyu pada tahun 1985.

Beliau kemudiannya menyertai UMNO bersama ahli USNO yang lain selepas parti itu dibubarkan secara rasmi pada 21 Februari 1991.

Pada 1991, John dilantik sebagai Senator Dewan Negara selama 6 tahun sebelum bertanding semula pada tahun 2004 sebagai calon bebas di DUN Kuala Penyu dan menang.

John Ghani kemudiannya memutuskan untuk menyertai PKR pada tahun yang sama beberapa bulan selepas memenangi kerusi DUN Kuala Penyu.