KUCHING: Kehadiran Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor mengiringi calon-calon Kerajaan Perpaduan semasa hari penamaan calon pilihan raya negeri Sabtu lepas adalah mesej jelas sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terhadap Kerajaan Perpaduan.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara Datuk Jeniri Amir berkata kehadiran kedua-dua pemimpin itu bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim amat signifikan bagi menunjukkan komitmen dan keikhlasan sokongan mereka.

"Ini menggambarkan komitmen, keikhlasan dan dukungan kuat dua pemimpin dari Sarawak dan Sabah ini, bukan sahaja kepada Perdana Menteri tetapi juga kepada parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan Perpaduan," katanya kepada Bernama di sini.

Abang Johari iaitu Pengerusi GPS dan Hajiji sebagai Pengerusi GRS telah bersama-sama Anwar mengiringi calon-calon Kerajaan Perpaduan bagi kerusi DUN Selangor Sabtu lepas.

Jeniri berkata sokongan kedua-dua pemimpin yang mewakili gabungan politik terbesar dari Borneo itu amat penting untuk menentukan kestabilan politik negara, sekali gus memberi mesej kepada pengundi di keenam-enam negeri terlibat untuk menyokong PH dan BN dalam PRN ini.

Beliau turut berpendapat langkah pemimpin-pemimpin tertinggi GPS dan GRS di Sabah dan Sarawak turun padang dalam PRN enam negeri wajar diikuti pemimpin-pemimpin lain dalam kedua-dua gabungan politik itu bagi mengukuhkan lagi keyakinan pengundi terhadap Kerajaan Perpaduan.

"Dengan pengulangan usaha, tenaga dan strategi daripada gabungan parti dari Sabah dan Sarawak ini sudah tentu memberi kesan kepada pola pengundian PRN nanti bagi menunjukkan persefahaman dan kesepakatan yang jitu dengan para pemimpin PH dan BN di Semenanjung," tambahnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pilihan raya di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu serta PRK Parlimen Kuala Terengganu diadakan serentak pada 12 Ogos manakala pengundian awal pada 8 Ogos.

-- BERNAMA