JITRA: Keikhlasan dan sikap rendah diri yang ditonjolkan bekas Perdana Menteri dan juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berusaha mencari titik persamaan melalui pertemuan antara pemimpin-pemimpin parti politik, menggambarkan pendirian sebenar parti berkenaan berhubung sebarang kerjasama menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan menyatakan, inisiatif yang diambil itu juga adalah bertujuan untuk memastikan kestabilan politik dapat dikembalikan selain integriti dalam urus tadbir negara dapat dipelihara.

Tambahnya, pendirian yang diambil Bersatu juga jelas dan tidak berubah khususnya bagi parti-parti politik yang mempunyai matlamat sama untuk duduk semeja supaya tidak berlaku persaingan sesama sendiri.

Jelasnya, ini kerana persaingan tersebut boleh memberikan kelebihan kepada orang lain seperti di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka.

"Sebab itu saya rasa apa yang disebut Tan Sri Muhyiddin kena pada masanya dan ini juga menunjukkan keikhlasan beliau sebagai seorang tokoh, bekas Perdana Menteri, tetapi beliau tidak segan silu mengusahakan secara aktif untuk mendapat kesatuan dan perpaduan tersebut,

"Beliau tidak ada rasa ego, sombong, rasa 'orang lain kena jumpa aku, aku tak boleh jumpa orang', sikap sebegini menunjukkan keikhlasan untuk memastikan kestabilan politik negara dapat dikembalikan serta prinsip integriti dalam urus tadbir negara dapat dijaga," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Berbuka Puasa Ketua Penerangan Bersatu Malaysia bersama Kelab Media Elit Kedah, di Jitra pada Khamis.

Mengulas mengenai kenyataan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mendakwa Muhyiddin berjumpa dengan beliau untuk mendapat sokongan bagi menjadi Perdana Menteri semula, Wan Saiful berkata itu merupakan pandangan parti itu.

Tegasnya, perkara utama yang perlu dicari dan dicapai ketika ini adalah membentuk satu kesatuan dan bukan bergaduh bagi menentukan siapa lebih layak untuk menjadi Perdana Menteri.

"Bagi saya sebelum kita bercakap soal Perdana Menteri, kita cakap pasal kesatuan dulu. Ini pertelagahan pun tak habis, masing-masing nak bergaduh antara satu sama lain, nak sibuk mengenai Perdana Menteri. Bagi saya kita perlu buat kerja dan selesaikan masalah satu demi satu dahulu," katanya.

Semalam, Muhyiddin menyatakan bahawa parti Bersatu terbuka untuk terus mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan mana-mana parti menjelang PRU15.

Bagaimanapun, ianya terserah kepada keterbukaan parti-parti lain untuk berbuat demikian.

Jelas beliau lagi, Bersatu berpandangan kerjasama pada PRU15 adalah wajar bagi menentukan kemenangan gabungan tersebut kelak.

Sebelum ini, Muhyiddin dilaporkan mengadakan pertemuan dengan pemimpin Pejuang yang mana difahamkan berkait rapat dengan soal kerjasama menjelang PRU15.