Senario terbaharu melibatkan tindakan beberapa pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertindak keluar parti tidak menjejaskan momentum Perikatan Nasional (PN) termasuklah di Sabah.

Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin berkata, beliau, sebaliknya, melihat perkara itu sebagai perkara biasa dan tidak seharusnya menjadi isu.

Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu, apa yang penting adalah kualiti dan kebolehan bekerja, bukannya tindakan keluar parti.

"Keluar parti masuk parti adalah perkara biasa, jadi apa pun ianya bergantung kepada kekuatan parti itu sendiri, kebolehan anggota parti itu untuk memimpin parti dan juga untuk menggerakan parti.

"Pada saya tidak menjadi isu seperti macam kita ini semua ada daripada bekas Keadilan (PKR) sudah 20 tahun, apa yang penting adalah anggota yang berkualiti dan boleh buat kerja.

"Jadi walaupun kita keluar, kita pasti anggota bersama kita telah keluar daripada Keadilan, yang penting ada kualiti boleh buat kerja," katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas mengadakan lawatan kerja di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gayang, Tuaran, di sini pada Ahad.

Pada Sabtu, beberapa pemimpin dan Ketua Bahagian Bersatu di Selangor telah bertindak keluar parti itu untuk menyertai parti yang akan ditubuhkan oleh bekas Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sehari sebelum itu, Dr Mahathir mengumumkan akan menubuhkan satu parti politik baharu yang bertunjangkan perjuangan bangsa Melayu.

Dalam masa sama, Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, adalah tidak menjadi kesalahan sebuah parti politik baharu ditubuhkan, asalkan ia tidak mencetuskan perpecahan di kalangan rakyat jelata.

BACA: Shafie Apdal malu dengan isu lompat parti