SEREMBAN: DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Sembilan menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, kedudukan Aminuddin kekal sebagai Menteri Besar sehingga dibuktikan sebaliknya di Dewan Undangan Negeri (DUN).
Advertisement
Menurutnya, DAP Negeri Sembilan telah mengadakan mesyuarat tergempar dan semua 11 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu, termasuk dirinya, sebulat suara menyatakan sokongan berterusan kepada Aminuddin.
“Pendirian kita jelas, semua ADUN DAP menyatakan sokongan penuh kepada Aminuddin untuk terus memangku jawatan Menteri Besar.
“Bagi kita, kedudukan beliau kekal sehingga dibuktikan sebaliknya di DUN. Yang penting, kelangsungan kerajaan negeri mesti dipertahankan dan pentadbiran perlu berjalan seperti biasa supaya pembangunan serta perancangan di Negeri Sembilan dapat diteruskan,” katanya pada sidang media Pakatan Harapan (PH) di kediaman rasmi Menteri Besar pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau menegaskan Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan bukan dibentuk selepas pilihan raya, sebaliknya hasil persefahaman sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos 2023.
Menurutnya, DAP dan rakan gabungan berkempen dalam PRN lalu atas platform Kerajaan Perpaduan melibatkan PH dan Barisan Nasional (BN).
“Ini adalah mandat yang diberikan oleh rakyat kepada PH dan BN untuk membentuk kerajaan negeri.
“Jika ada mana-mana pihak menarik sokongan ketika ini, ia jelas tidak menghormati mandat rakyat Negeri Sembilan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan DAP tidak akan menyokong sebarang usaha untuk menubuhkan kerajaan melalui pintu belakang.
“Kita tidak akan menyokong mana-mana usaha kerajaan tebuk atap atau ‘backdoor government’.
“Sebarang cubaan menubuhkan kerajaan selain daripada kerajaan sedia ada adalah membelakangi mandat rakyat,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Amanah Negeri Sembilan, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman berkata, Amanah sebagai rakan gabungan dalam PH menyokong kerajaan sedia ada dan menghormati institusi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
“Apa yang berlaku pada hari ini sebenarnya memeranjatkan kami kerana kita memasuki pilihan raya bersama dengan slogan ‘menang bersama’.
“Dalam memeterai perjanjian itu, kami juga diminta oleh pihak BN sebagai tanda keikhlasan untuk menyerahkan satu kerusi di Lenggeng, dan kami lakukan,” katanya.
Menurutnya, walaupun pelbagai tuduhan mungkin dilemparkan susulan krisis yang berlaku, PH akan kekal fokus terhadap khidmat kepada rakyat. - Sinar Harian