Skip to main content

Malaysia

Kerajaan teroka laksana Sijil Turath Malaysia tahun depan - Zulkifli

Dr Zulkifli (tengah) beramah mesra bersama para ulama pada Majlis Sama Hadis Jami at-Tirmidhi dan Syamail al-Mu ammadiyyah Peringkat Antarabangsa 2026 di Masjid Putra, Putrajaya, pada Jumaat. --fotoBERNAMA
Dr Zulkifli (tengah) beramah mesra bersama para ulama pada Majlis Sama Hadis Jami at-Tirmidhi dan Syamail al-Mu ammadiyyah Peringkat Antarabangsa 2026 di Masjid Putra, Putrajaya, pada Jumaat. --fotoBERNAMA

Ringkasan AI

  • Kerajaan sedang meneroka pelaksanaan Sijil Turath Malaysia sebagai pengiktirafan rasmi pelajar institusi pondok dan turath, dijangka diperkenal tahun depan.
  • Sijil ini membolehkan pelajar institusi pondok dan turath melanjutkan pengajian ke universiti serta membina kerjaya, setaraf Sijil Tahfiz Malaysia.
  • Agensi hal ehwal agama akan meneruskan projek penerbitan terjemahan Sahih al-Bukhari edisi kemas kini dalam format digital dan fizikal.
Advertisement

PUTRAJAYA: Kerajaan kini meneroka pelaksanaan Sijil Turath Malaysia yang dijangka diperkenal tahun depan sebagai pengiktirafan rasmi kepada pelajar institusi pondok dan pengajian turath sekali gus membuka laluan untuk mereka melanjutkan pengajian ke peringkat universiti serta membina kerjaya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata usaha itu susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2027, yang turut merangkumi penubuhan Majlis Penasihat Pondok dan Turath Malaysia.

"Sijil ini umumnya usaha kita untuk melihat bagaimana institusi pondok dan turath mendapat pengiktirafan dan boleh dijadikan sebagai sijil yang membolehkan mereka masuk ke universiti dan juga untuk karier mereka. 

Advertisement

"Jadi, kita ingin melihat bagaimana Sijil Turath Malaysia ini akan kita usahakan sebaiknya... sepertimana kita ada Sijil Tahfiz Malaysia, sekarang ini kita ada Sijil Turath Malaysia... insya-Allah, doakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sama’ Jami’ al-Tirmizi dan al-Syamail al-Muhammadiyyah Peringkat Antarabangsa 2026 di sini malam tadi.

Majlis itu, yang berlangsung selama 11 hari, bermula hari ini hingga 23 Nov depan dengan kehadiran ulama antarabangsa serta tokoh ilmuwan tempatan, dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menghadiri majlis penutup program berkenaan.

Advertisement

Memperincikan sijil berkenaan, Zulkifli berkata ia dikhususkan untuk institusi pondok dan turath tempatan serta mana-mana institusi yang ingin mengikuti semua silibus yang diiktiraf di bawah Sijil Turath Malaysia setaraf dengan pelaksanaan Sijil Tahfiz Malaysia ketika ini.

Terdahulu, beliau berkata inisiatif itu adalah antara usaha kerajaan membina ekosistem keilmuan Islam yang lebih tersusun dan sistematik selaras dengan pengumuman penubuhan Majlis Penasihat Pondok dan Turath Malaysia dalam Belanjawan 2027.

Beliau berkata kerajaan mahu institusi pondok dan turath terus mempertahankan keaslian tradisi pengajian, kekuatan kaedah talaqqi, hubungan guru dengan murid serta penguasaan kitab turath yang menjadi warisan keilmuan Islam.

"Usaha ini turut memberi ruang kepada pengiktirafan pendidikan, pembangunan prasarana, penguasaan kemahiran digital dan kecerdasan buatan selain membuka peluang masa depan kepada pelajar," katanya ketika berucap merasmikan majlis itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Zulkifli berkata agensi hal ehwal agama telah bersetuju meneruskan projek penerbitan terjemahan Sahih al-Bukhari edisi kemas kini yang melibatkan penambahbaikan ketepatan terjemahan, ejaan, istilah dan susun atur teknikal bagi keseluruhan lapan jilid.

"Penerbitan ini bukan sekadar cetakan semula sebaliknya turut merangkumi penyediaan format digital menerusi portal MyHadis dan naskhah fizikal untuk edaran rasmi," katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement