Kemelut Pas-Bersatu: Penting pemimpin kuat, ada aura untuk 'ikat' gabungan - Penganalisis

Pengunduran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN disifatkan sebagai tekanan dalaman yang gagal dikawal sebelum berkembang menjadi krisis. - Bernama
KUALA LUMPUR: Ketegangan antara Pas dan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) memperlihatkan kelemahan kepimpinan tertinggi gabungan itu bertindak sebagai penghubung berkesan antara parti komponennya.
Penganalisis politik yang juga Konsultan Kanan Asia Global Consulting, Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, PN memerlukan seorang pemimpin yang mampu diterima semua pihak dan berperanan sebagai 'jambatan' dalam menyatukan perbezaan dalaman, terutamanya ketika situasi konflik.
“Sesiapa sahaja yang diangkat menjadi pemimpin gabungan ini, haruslah yang boleh bertindak sebagai jambatan antara parti komponen dalam Perikatan Nasional.
"Kekuatan seseorang individu itu menggambarkan kekuatan parti, kalau seseorang panglima gagal mengemudi parti, bagaimana dia boleh memimpin negara?
"Jika pemimpin parti itu kurang aura, sukar mengawal individu atau sebarang entiti dalam gabungan, maka dia harus memikirkan cara untuk mengikat mereka. Kalau gagal juga, mungkin langkah terbaik undur diri," kata Zaharuddin dalam program Agenda AWANI pada Isnin.
Menurut beliau, pengunduran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN mencerminkan tekanan dalaman yang gagal dikawal sebelum berkembang menjadi krisis besar, memetik kemelut politik di Perlis.
"Isu pokok adalah tidak kebersetujuan terhadap Menteri Besar Perlis ketika itu, Muhyiddin mungkin enggan masuk campur dalam hal ini kerana Mohd Skukri Ramli adalah daripada parti Pas.
"Sepatutnya Pas ambil tindakan proaktif dengan menasihati Mohd Shukri untuk berundur secara terhormat, maka tidak timbul masalah ada orang tandatangan akuan berkanun (SD) menarik sokongan. Boleh lakukan penggantian sewajarnya daripada kalangan Pas.
"Tidak tamat di situ, Pas pula mendesak Ahli Dewan Undangan Negeri Bersatu yang terlibat untuk digugurkan keahlian, bermakna Bersatu secara automatik hilang ADUN di Perlis. Jadi bagaimana solusi, adakah menerusi pilihan raya kecil (PRK)?," soal Zaharuddin.
Namun beliau berpandangan tidak wajar setiap kali berlaku konflik dalaman parti, PRK terpaksa dianjurkan kerana ia menelan perbelanjaan besar serta pelaksanaan dasar terbantut.
"Rakyat semakin 'lemau' dengan politik Malaysia ini. Kita lihat sahaja di Sabah, peratusan keluar mengundi dari tahun ke tahun menurun. Kepercayaan terhadap sistem politik negara mulai luntur.
"Berbalik kepada hujahan asal, kekuatan individu untuk menerajui parti adalah cukup penting," kata Zaharuddin menoktahkan bicara.
Persoalan kini kekal, adakah tokoh Pas seperti Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud boleh menjadi 'jambatan' yang diperlukan?
Malah timbul juga keraguan, adakah Perikatan Nasional masih utuh memasuki tahun 2026, kerana wujud juga kemungkinan penjajaran baharu politik.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


