KUALA LUMPUR: Kemenangan calon Barisan Nasional, Datuk Amizar Abu Adam dengan majoriti selesa membuktikan bahawa para pengundi di DUN Pelangai mahu kerajaan negeri Pahang yang diterajui oleh Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail terus stabil dalam memastikan kebajikan rakyat terus terbela.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, kemenangan itu juga membuktikan formula kerjasama di antara parti-parti di dalam Kerajaan Perpaduan diakui dan diterima rakyat.

“Wanita UMNO Malaysia mengucapkan tahniah kepada calon Barisan Nasional, Datuk Amizar Abu Adam di atas kemenangan di Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai.

“Terima kasih kepada seluruh pengundi DUN Pelangai yang terus memberi sokongan dan kepercayaan kepada calon Barisan Nasional untuk memberikan khidmat bakti kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada malam Sabtu.

Noraini berkata, Wanita UMNO Malaysia juga ingin menzahirkan terima kasih kepada seluruh jentera parti Kerajaan Perpaduan yang telah bertungkus lumus berkempen untuk memastikan kemenangan tersebut.

Media sebelum ini melaporkan Ahli Jawatankuasa UMNO Bentong itu menang dengan majoriti 2,949 undi apabila meraih 7,324 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat (4,375 undi) dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasni (47 undi).

PRK hari ini diadakan susulan kekosongan luar jangka kerusi DUN berkenaan selepas Johari, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, meninggal dunia dalam nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas.