Kenapa UMNO masih tebal muka, sebab kita 'sauh' elak negara karam - Tok Mat

Mohamad berkata, hakikatnya UMNO pada awalnya bersedia menerima hukuman rakyat dan memilih untuk berada di blok pembangkang selepas PRU15.
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohamad Hasan secara terbuka menjawab persoalan sinis yang sering dibangkitkan terhadap kedudukan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan, termasuk dakwaan parti itu terlalu ghairah berkuasa.
Menurut Timbalan Presiden UMNO itu, persoalan tersebut bukan asing dalam kalangan rakyat, malah turut dilontarkan secara terbuka sejak keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Ramai yang bertanya, malah ada yang sinis, ‘kenapa UMNO masih tebal muka dalam kerajaan ini? Kenapa duduk semeja dengan seteru lama? Adakah UMNO sudah gila kuasa?’” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2025 di Dewan Merdeka, di sini, pada Rabu.
Mohamad berkata, hakikatnya UMNO pada awalnya bersedia menerima hukuman rakyat dan memilih untuk berada di blok pembangkang selepas PRU15.
“Selepas PRU15, UMNO sebenarnya sudah bersedia untuk menjadi pembangkang. Kita terima hukuman rakyat dengan hati terbuka. Kita mahu berehat untuk bina semula kekuatan dari bawah,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau berkata, keadaan negara ketika itu menuntut UMNO membuat keputusan berbeza demi kepentingan lebih besar.
“Tetapi takdir Allah dan tuntutan negara mengatasi kehendak parti. Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ketika itu memanggil kita. Negara sedang ‘tergantung’. Parlimen tergantung. Politik di ambang huru-hara. Ekonomi rakyat mula terancam,” katanya.
Sehubungan itu, Mohamad berkata, UMNO menyertai kerajaan bagi memastikan kestabilan negara dapat dipelihara.
“Kita masuk Kabinet untuk bina kestabilan, saudara-saudari sekalian. Kita adalah sauh yang memastikan kapal negara tidak karam,” katanya.
Beliau menegaskan tindakan UMNO itu bukan keputusan berasaskan emosi, sebaliknya berpandukan tanggungjawab kenegaraan.
“Marah mesti bersulam strategi. Berani mesti bersulam tanggungjawab,” ujarnya lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


