KUALA LUMPUR: Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menyifatkan kenyataan terbaharu Tun Dr Mahathir Mohamad telah dengan sendirinya menjawab 'serangan' bekas Ahli Parlimen Langkawi itu terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Mohamed Nazri, apa yang dijelaskan oleh Dr Mahathir bahawa ketika era pentadbirannya keputusan mengenakan Ops Lalang dibuat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah sama dengan apa yang diputuskan untuk tidak membenarkan Perhimpunan Proklamasi Orang Melayu baru-baru ini.

Mohamed Nazri menegaskan, ini bukan soal antara Mahathir dan Anwar sebaliknya ia melibatkan isu keselamatan negara.

"Mahathir telah menjawab sendiri serangan yang beliau buat terhadap Anwar mengenai isu tidak membenarkan Perhimpunan Proklamasi Orang Melayu itu.

"Bila Mahathir beritahu penahanan beberapa pemimpin politik ketika Ops Lalang dibuat oleh PDRM, bermakna beliau sendiri telah menjawab perkara yang dibangkitkan.

"Apa yang beliau bising-bising? Mahathir kata Anwar halang perhimpunan proklamasi pentaksub Mahathir tapi beliau lupa yang tidak benarkan itu adalah PDRM.

"Saya makin pelik dengan Mahathir ini bila beliau serang, beliau sendiri yang jawab," katanya kepada Astro AWANI.

Mengimbau peristiwa Ops Lalang, Mohamed Nazri memberitahu ketika itu beberapaExco Pemuda UMNO juga ditahan dalam operasi tersebut.

Nazri menjelaskan, ketika itu beliau juga merupakan Exco Pemuda UMNO dan telah membangkitkan tentang penahahan rakan-rakannya kepada Dr Mahathir.

"Apa yang Mahathir jawab bila kita tanya kenapa tahan Exco Pemuda UMNO? Mahathir jawab kepada kami senarai yang ditahan itu bukan beliau keluarkan tetapi ia datang dari PDRM.

"Mahathir juga memberitahu kami bahawa beliau tidak mengeluarkan sebarang arahan kerana tidak mempunyai kuasa.

"Jadi saya nak ingatkan Mahathir kalau beliau lupa, hal keselamatan hari ini juga diputuskan oleh PDRM bukan perdana menteri," dakwanya lagi.

Pada Rabu, Dr Mahathir menafikan arahan melaksanakan Operasi Lalang atau Ops Lalang dikeluarkan oleh beliau ketika menjadi Perdana Menteri ke-4.

Penasihat Sekretariat Proklamasi Orang Melayu itu, sebaliknya menegaskan, keputusan berkaitan Ops Lalang telah dijelaskan oleh bekas Ketua Polis Negara ketika itu, Tun Mohammed Hanif Omar, bahawa ia merupakan keputusan yang dibuat PDRM.