KUALA LUMPUR: Kepimpinan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein (1922–1976) wajar dijadikan teladan ketika negara berdepan krisis kestabilan politik, khususnya dalam mengurus gabungan komponen parti.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, berkata pendekatan kepimpinan Tun Razak yang bersifat konsultatif, berteraskan pembinaan konsensus dan politik musyawarah penting bagi mengurus perbezaan pandangan dalam kalangan parti politik.
Advertisement
Zambry yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) berkata, cabaran utama pada masa kini ialah mendapatkan persetujuan bersama antara pelbagai parti politik.
“Bukan mudah untuk membawa semua parti duduk bersama, mendengar dan memperhalusi keputusan. Perlembagaan BN berasaskan konsensus.
“Itu juga cabaran hari ini, iaitu bagaimana mengatur keputusan-keputusan penting,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada forum 'Tun Abdul Razak: Honouring a Legacy, Inspiring a Future' di Universiti Malaya, hari ini.
Forum tersebut diadakan sempena memperingati 50 tahun pemergian Tun Razak yang meninggal dunia pada 14 Januari 1976 ketika menjawat jawatan Perdana Menteri Kedua, menggantikan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Untuk rekod, sejak Pilihan Raya Umum ke-14, BN berdepan polemik politik apabila buat pertama kali gagal membentuk kerajaan sejak kemerdekaan pada 1957, ketika negara ditadbir oleh Datuk Seri Najib Razak, anak kepada Allahyarham Tun Razak.
Keputusan itu menyaksikan parti-parti komponen BN dari Sabah dan Sarawak keluar daripada gabungan berkenaan, sekali gus membawa kepada penubuhan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Jun 2018 dan disusuli pembentukan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada September 2020, yang melemahkan kedudukan BN di peringkat nasional.
Sejak itu, BN kekal dengan struktur lebih kecil, dianggotai UMNO, MCA dan MIC, serta membentuk Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH), GPS, GRS dan parti lain sejak Disember 2022.
Pada November 2025, timbul dakwaan MIC ingin keluar BN, namun pada 18 April lalu, Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata MIC tidak pernah menyatakan secara rasmi hasrat tersebut.
Zambry turut mengimbas strategi Tun Razak menangani tragedi 13 Mei 1969, termasuk pembentukan Majlis Perundingan Negara (MAPEN) serta penubuhan BN pada 1 Jun 1974 bagi memperbaiki hubungan antara kaum.
“Kita tidak boleh bayangkan dalam suasana pertentangan yang besar pada waktu itu, bagaimana usaha menyatukan semula semua kaum untuk duduk bersama,” katanya.
Menurut Zambry, pemikiran jauh Tun Razak tentang masa depan negara membolehkan Malaysia mengharungi detik sukar dan kembali mencapai kestabilan.