POLITICS
Keputusan Pemilihan PKR dijangka diketahui Jumaat ini

Zaliha berkata keputusan itu mungkin diketahui semasa Presiden PKR yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan dasar sekali gus merasmikan Kongres Nasional PKR 2024/2025. - Foto Bernama
JOHOR BAHRU: Keputusan kepimpinan baharu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dijangka diketahui paling awal malam esok, kata Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Ringkasan AI
- Keputusan pemilihan kepimpinan pusat PKR dijangka diumumkan seawal 9 malam esok, selepas ucapan dasar Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan pengumuman rasmi paling lewat pada 2.30 petang Sabtu.
- Seramai 22,809 perwakilan akan mengundi, termasuk 9,829 secara fizikal dan 13,060 secara dalam talian, bagi memilih kepimpinan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan AMK, dan Majlis Pimpinan Wanita.
- Pemilihan kali ini menyaksikan pertandingan bagi beberapa jawatan, kecuali Presiden dan Ketua AMK yang menang tanpa bertanding, dengan keputusan tidak rasmi hanya boleh diakses oleh calon bertanding dan perwakilan.
Turut hadir Setiausaha Agung PKR Dr Fuziah Salleh, Ketua Penerangan Datuk Fahmi Fadzil dan Timbalan Pengerusi JPP Datuk Ahmad Kassim.
Mengulas lanjut, Dr Zaliha berkata keputusan tidak rasmi pula hanya boleh diakses oleh setiap calon bertanding dan perwakilan.
Beliau juga berharap agar tiada gangguan liputan Internet pada hari berkenaan bagi membolehkan proses pengundian berjalan lancar.
"Setakat ini, Presiden dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyaksikan tidak pertandingan manakala terdapat pertandingan bagi jawatan-jawatan yang lain," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) itu.
Fuziah pula berkata seramai 150 petugas media telah mendaftar bagi membuat liputan Kongres Nasional PKR tahun ini.
Beliau berkata seramai 9,029 perwakilan akan mengundi secara fizikal termasuk di Sabah dan Sarawak manakala 13,060 lagi secara dalam talian bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP).
Bagi Majlis Pimpinan Wanita Pusat pula, seramai 2,129 daripada 8,558 perwakilan akan mengundi secara fizikal manakala bagi Majlis Pimpinan AMK, sebanyak 3,375 daripada 10,065 perwakilan akan mengundi secara fizikal.
Fuziah juga berkata meskipun tiada jemputan dikeluarkan untuk pemerhati bagi Kongres Nasional PKR tahun ini susulan ruang yang terhad namun parti itu amat mengalu-alukan kehadiran mereka.
Kongres itu bermula 8 malam ini dengan perasmian serentak Kongres AMK dan Wanita oleh Fuziah di Berjaya Waterfront Hotel di sini yang dijangka dihadiri Ketua AMK Adam Adli Abdul Halim, Ketua Wanita Fadhlina Sidek serta perwakilan kedua-dua sayap.
Kedua-dua sayap parti akan memulakan kongres masing-masing esok dengan ucapan dasar Adam Adli dan Fadhlina diikuti sesi perbahasan sebelum penggulungan oleh Setiausaha, Naib Ketua, Timbalan Ketua dan Ketua Sayap.
Pengundian Pemilihan Peringkat Pusat akan berlangsung esok merangkumi pemilihan MPP, Majlis Pimpinan AMK dan Majlis Pimpinan Wanita, yang bermula dari 8 pagi hingga 5 petang.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami