POLITICS
Kerajaan komited perkukuh agenda ekonomi Bumiputera - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid berkata demikian selepas meneliti pembentangan kertas Sesi Permukiman Setahun Selepas KEB 2024 oleh Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi Datuk Nor Azmie Diron di pejabatnya hari ini. - Foto FB Zahid Hamidi
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus menyokong serta memperkukuh dasar dan inisiatif berteraskan aspirasi ekonomi Bumiputera agar manfaatnya dapat dinikmati oleh generasi kini dan akan datang.
Ringkasan AI
- Komitmen Kerajaan terhadap Ekonomi Bumiputera: Kerajaan akan terus menyokong dan memperkukuh dasar ekonomi Bumiputera bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati oleh generasi kini dan masa depan, dengan sesi perbincangan lanjut dijadualkan pada Jumaat ini.
- Usaha Merapatkan Jurang Ekonomi: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa keseimbangan ekonomi antara kaum perlu dicapai melalui komitmen menyeluruh merentasi kementerian, agensi dan sektor swasta.
- Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 & Resolusi: KEB 2024 menggariskan lebih 80 resolusi hasil libat urus 10 kluster berkaitan pemerkasaan Bumiputera, dengan sesi pemukiman diadakan untuk menilai pelaksanaan setahun selepas kongres tersebut.
"Sebagai sebuah negara yang menjadikan keseimbangan dan kestabilan sebagai asas pembangunan, usaha merapatkan jurang ekonomi antara kaum perlu digerakkan dengan komitmen menyeluruh, merentasi kementerian, agensi dan sektor swasta," katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 berkata demikian selepas meneliti pembentangan kertas Sesi Permukiman Setahun Selepas KEB 2024 oleh Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi Datuk Nor Azmie Diron di pejabatnya hari ini.
KEB 2024 yang diadakan pada 29 Feb hingga 2 Mac tahun lepas telah menggariskan lebih 80 resolusi sebagai agenda pemerkasaan Bumiputera.
Resolusi itu diperoleh daripada hasil libat urus dikelolakan menerusi 10 kluster merangkumi pelbagai aspek yang dibentangkan sepanjang tiga hari berlangsungnya kongres berkenaan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami